Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor mengesahkan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) secara prinsipnya akan bekerjasama dengan gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, berkata, persetujuan dicapai menerusi perbincangan bersama Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abd Rahman baru-baru ini.

“Persetujuan dasarnya sudah dicapai untuk MUDA bekerjasama dengan PH Johor sekiranya PRN diadakan di negeri ini.

“Kita akan adakan perbincangan lanjut bersama kepimpinan tertinggi semua parti menganggotai PH termasuk dari segi agihan kerusi serta persiapan lain.

“Presiden Amanah, Mohamad Sabu, juga dijangka turun ke Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat parti sama ada Rabu atau Khamis ini bagi perbincangan lanjut mengenai PRN Johor,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (2), Pas (1) sementara Amanah (6) dan PKR pula (7).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani berkata, Amanah Johor kini sedang memperincikan calon parti bagi PRN negeri sebagai persiapan menghadapi berlakunya PRN.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast