Dr Ahmad Yunus Hairi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor perlu bertanggungjawab untuk segera memperbaiki kelemahan pengurusan banjir di negeri itu bagi memastikan bencana sama tidak berulang lagi di masa depan.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, tiada perancangan yang komprehensif menyebabkan situasi menjadi kelam kabut dengan pasukan penyelamat berdepan kesukaran menjalankan operasi di hari pertama kejadian.

“Pas Selangor kesal akibat kelemahan dan kegagalan ini, rakyat yang terjejas telah menjadi mangsa dan terpaksa menanggung sengsara.

“Bahkan, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sendiri menjelaskan, beliau terpaksa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Banjir Selangor membuktikan betapa lemah dan tidak bersedianya kerajaan negeri PH dalam menghadapi saat cemas itu.

“Apa pun biarlah bencana ini menjadi pengajaran kepada semua pihak khasnya kerajaan PH Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Yunus bagaimanapun berkata, langkah segera perlu diambil untuk mengatasi segala kelemahan yang digarasikan oleh Perdana Menteri termasuk memperbaiki pengurusan dan komunikasi di peringkat negeri dan daerah.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri khasnya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil langkah drastik bagi mengurangkan risiko berulangnya bencana seumpama itu dengan memastikan saluran longkang sentiasa diurus dengan baik dan tidak tersumbat dengan sampah sarap.

“Ini bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa, tetapi ini masanya untuk memastikan rakyat khususnya di Selangor tidak lagi menjadi mangsa akibat kecuaian dan kelemahan pentadbiran negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast