Ahmad Jazlan Yaakub

KOTA BHARU – UMNO Kelantan hari ini membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS negeri berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata keputusan tersebut dibuat selepas pertemuan antara Biro Politik UMNO Kelantan dan Dewan Harian PAS Kelantan gagal mencari kata putus berhubung kerjasama kedua-dua parti dalam Muafakat Nasional (MN) itu.

Beliau berkata dalam mesyuarat yang berlangsung tengah hari tadi, PAS negeri mahu memelihara hubungan dengan Bersatu dan kekal dalam Perikatan Nasional (PN) Kelantan namun pada masa sama, parti itu mengulangi untuk terus menjaga hubungan dengan UMNO dalam MN.

“Dalam konteks Kelantan, kita telah memutuskan mana-mana parti yang terus bersama Bersatu, mereka bukanlah rakan ataupun pasangan kita untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Negeri Kelantan di sini.

Ahmad Jazlan berkata berikutan keputusan itu, UMNO Kelantan akan bergerak secara solo pada PRU15 atas nama Barisan Nasional.

“Saya beri jaminan setakat ini, itulah keputusan kita, kita bergerak secara solo dan sekiranya ada apa-apa keputusan daripada pucuk pimpinan parti maka selaku ahli parti yang patuh, kita akan akur dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata biarpun memutuskan hubungan dengan PAS negeri, kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO akan terus memberi sokongan kepada pentadbiran kerajaan negeri selagi PAS terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sekiranya ada perkara berkaitan kepentingan agama yang menjadi asas perjuangan kita, kepentingan bangsa, kita boleh duduk sepentas… ini soal yang berbeza,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.