Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka mencecah sekitar paras semasa pada 4.18 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan ketika pelabur terus menunggu keputusan mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang dijadualkan pada minggu akan datang.

Antara isu utama yang menjadi perhatian adalah mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah yang lebih awal di negara maju itu selain kecenderungan pegawai bank pusat AS itu untuk menamatkan dasar monetari akomodatif.

Sehubungan itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata,  mesyuarat FOMC pada 25 dan 26 Januari ini akan menjadi tumpuan ramai pada minggu depan.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata pendirian Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai keadaan ekonomi, akan turut memacu aliran peningkatan ringgit sepanjang tahun ini.

“Mengambil kira hasil mesyuarat MPC (pada 20 Januari), BNM dilihat sebagai selesa dengan keadaan ekonomi semasa negara. Jika ia terus berpendirian sedemikian, ada kemungkinan kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan tahun ini,” katanya.

Pada mesyuarat pertama MPC bagi 2022, bank pusat itu bertindak mengekalkan OPR pada paras 1.75 peratus dengan kemungkinan kenaikan 25 mata asas dalam separuh kedua tahun ini.

Malah, sentimen positif BNM yang berterusan serta data inflasi terkini juga telah membantu memacu pengukuhan ringgit dalam urus niaga Khamis dan Jumaat.

Beliau berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Disember 2021 juga stabil pada 3.2 peratus berbanding 3.3 peratus pada November 2021.

Di peringkat global, kenaikan hasil Perbendaharaan AS yang ketara, penjualan ekuiti dan tindakan China menurunkan kadar dasarnya dilihat sebagai antara faktor utama yang mempengaruhi pergerakan pasaran mata wang bagi minggu ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama sepanjang minggu ini.

Ringgit mengakhiri minggu ini dengan lebih rendah iaitu 4.1840/1870 berbanding dolar AS daripada 4.1765/1795 pada Jumaat lepas.

Unit tempatan itu juga susut berbanding mata wang utama lain bagi asas Jumaat hingga Jumaat.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1096/1121 daripada 3.1045/1070 pada Jumaat lepas dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6715/6741 daripada 3.6675/6704 sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding euro kepada 4.7434/7468 daripada 4.7846/7880 seminggu sebelumnya dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6764/6805 daripada 5.7339/7380 sebelum ini. – MalaysiaGazette