Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa sudah hilang modal apabila cuba mengaitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan kluster mahkamah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii secara sinis berkata, rakyat pun pening dengan dengan kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

Jelasnya, PRN Johor berlaku kerana kematian bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang menyebabkan mejoriti amat tipis dalam Kerajaan Johor.

Majoriti yang tipis itu menyebabkan para pelabur tidak mahu masuk melabur, keadaan Dewan Undangan Negeri pula ibarat telur di hujung tanduk dan pelbagai isu berbangkit berkenaan dasar kerajaan.

”Wan Saiful sudah hilang modal, tahu parti beliau akan menerima nasib yang sama seperti di PRN Melaka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, dalam posting di Facebook, Wan Saiful berkata, sekarang bukan waktu yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya tetapi UMNO Johor kelihatan rakus bermain politik demi kuasa, walaupun rakyat masih bergelumang dengan pandemik Covid-19 dan kesan bencana banjir.

Katanya lagi, politik Johor sedang stabil dan tidak bergolak justeru, tidak ada sebab untuk diadakan pilihan raya, melainkan nafsu beberapa orang dalam UMNO.

”Saya berpandangan ini adalah usaha kluster mahkamah dan para pendokong mereka untuk terus mengalih perhatian daripada kes mahkamah yang sedang mereka hadapi, dan pada masa yang sama memperkukuh kedudukan kluster mahkamah itu sendiri.

”Mungkin kluster mahkamah semakin terdesak dan merasakan bahawa satu-satunya cara untuk lari dari penjara ialah dengan merobek pemisahan kuasa. Untuk merobek pemisahan kuasa yang dibina semula bersungguh-sungguh oleh Tan Sri Muhyiddin, mereka mesti cuba membolot kuasa dahulu. Saya tidak pelik jika Johor akan diikuti oleh negeri lain pula.

”Begitulah realiti orang terdesak yang rakus kuasa dan takut penjara. Kita mesti pertahankan integriti sistem pentadbiran dan pemisahan antara institusi kehakiman dan badan eksekutif,” kata Wan Saiful.

Mengulas mengenai dakwaan Tan Sri Muhyddin Yassin berkenaan campur tangan isu hakim, juga satu perkara yang separa benar, kata Mohd Razlan.

“Kenapa Muhyddin tidak menyatakan semua ini dengan jelas, permintaan menukar pendakwa raya bukan satu yang rahsia, dan dibuat secara rasmi, hakim juga yang akan menentukan keputusan.

”Sikap menyemai kebencian tanpa fakta sudah lama dimainkan oleh Muhyddin dan PPBM, rakyat hari ini lebih bijak menilai dan tidak akan dibodohkan sekali lagi dengan permainan emosi.

”Apa yang BN cuba lakukan adalah memberi semula kestabilan dan kemakmuran kepada kehidupan rakyat. Rakyat tidak boleh sekali lagi terjerumus dalam kancah emosi yang melampau sehingga mendapat kerajaan yang gagal seperti PRU14.

”Untuk kita membina keyakinan semua pihak, dalaman dan luar negara, pelabur serta perniaga, kerajaan perlu stabil dan meyakinkan, itu lah isu paling penting, bagi memberi semua kehidupan yang sediakala kepada rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette