Kamarul Zaman mengadakan sembah taklimat persediaan dan keselamatan menjelang PRN kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Flinstones, Mersing

JOHOR BAHRU – Prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka diperketatkan berikutan kemunculan varian baharu Covid-19, Omicron.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya itu.

“Sudah pasti SOP yang sedikit ketat kita akan laksanakan tetapi kita perlu tunggu dahulu keputusan MKN sebelum laksanakannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan polis Johor dalam menghadapi PRN.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan memberi tumpuan di setiap lokasi pada PRN bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku.

“Sudah pasti semua kawasan kami akan beri tumpuan, apa-apa pun kita tunggu dahulu dan saya akan umumkan kelak.

“Setakat ini dari segi pembekuan (cuti) anggota mahupun pegawai saya belum boleh maklumkan tetapi kami telah bersedia,” ujarnya.

Terdahulu, Kamarul Zaman mengadakan sembah taklimat persediaan dan keselamatan menjelang PRN kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Flinstones, Mersing. -MalaysiaGazette