Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berjalan keluar selepas hadir menyokong terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan keputusan akhir pendakwaan bagi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO ketika ini sudah menyasarkan sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dalam Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagaimanapun, menurutnya, jumlah itu belum lagi muktamad memandangkan ada DUN yang akan ditandingi oleh komponen Barisan Nasional (BN) seperti MIC dan MCA.

Ketika ini, katanya, pihaknya masih lagi dalam peringkat perbincangan bersama rakan komponen BN lain dan jumlah keseluruhan yang akan ditandingi akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita sasar minimum 42 daripada 56 kerusi DUN di Johor. Ini hanya mengambil kira UMNO sahaja,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media selepas hadir menyokong terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan keputusan akhir pendakwaan bagi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 JANUARI 2022.

Terdahulu Mohamad  tiba di mahkamah untuk memberi sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi keputusan kes rasuah melibatkan dana Yayasan Akal Budi oleh Mahkamah Tinggi.

Mohamad  antara yang paling awal sampai ke kompleks mahkamah namun beliau keluar lebih awal memandangkan dirinya tidak dibenarkan masuk ke dalam atas alasan SOP Covid-19.

Beliau sempat bercakap dengan media sebelum pulang menaiki kenderaan MPV sambil melambai kepada sekumpulan jurugambar.

Sabtu lepas Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad mendapat perkenan Sultan Johor bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Pembubaran DUN dibuat selepas kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang.

Ini susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar pada 21 Disember lalu.- MalaysiaGazette