Datuk Mohana Muniandy

KUALA LUMPUR – Wanita MIC yakin Barisan Nasional (BN) akan melakar kemenangan besar pada Pilihan Raya (PRN) Johor, seperti mana yang dikecapi pada PRN Melaka.

Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy berkata, tanggungjawab yang digalas pihaknya ketika PRN Melaka akan diteruskan dengan skala lebih besar.

“Kita sememangnya sudah berada dalam keadaan siap siaga. Wanita MIC sudah lama bersama masyarakat, turun padang dan lakukan apa yang perlu.

“Wanita MIC pada hari ini bukan sahaja di peringkat tertinggi sebaliknya semua peringkat bersedia dan berikrar untuk memastikan kemenangan besar UMNO dan BN bukan sahaja dalam PRN sebaliknya kembali menerajui negara secara keseluruhan.

“Wanita MIC lebih bersemangat apabila kini kita juga turut disertai dengan Briged Wanita MIC yang keahlian sudah mencecah ribuan sejak ianya dilancarkan pada Disember tahun lepas, ramai lagi hendak sertai kita terutamanya dalam kalangan muda,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Dalam pada itu, Mohana memberitahu, penyelarasan tugasan pergerakan Wanita MIC telah dilakukan bagi memudahkan mereka mendekati pengundi. – MalaysiaGazette