Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Zhongxing Education Management Co. Ltd, Wuxi (ZEM) di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, Durian Tunggal.-Foto UTeM

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Zhongxing Education Management Co. Ltd, Wuxi (ZEM) menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang pengajian  berimpak tinggi.

Kerjasama selama 10 tahun dari 2022 hingga 2032 sekaligus mengukuhkan kerjasama dua negara Malaysia dan China.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof. Ir Dr Ghazali Omar berkata, pihaknya gembira kerana jalinan kerjasama antara UTeM dan ZEM mewujudkan laluan pelajar dari negara China melanjutkan pengajian selama tiga tahun bagi program Ijazah Sarjana Muda Teknologi di UTeM.

Menurutnya, mereka berpeluang untuk melanjutkan pengajian bagi tiga program yang ditawarkan di UTeM iaitu Sarjana Muda Teknologi Internet of Things, Sarjana Muda Teknologi Telekomunikasi dan Sarjana Muda Teknologi Pengkomputeran Awan dan Aplikasi.

Tambah beliau lagi, ketiga-tiga program tersebut akan bermula pada sesi pengajian 2022/2023 dan melibatkan pengambilan pelajar seramai lebih kurang 150 orang dari negara China.

Ini secara tidak langsung menyumbang kepada penjanaan pendapatan universiti.

“Program ini unik kerana akan menerapkan kurikulum berpacu industri sebanyak 40 peratus dijalankan dengan penggunaan peralatan makmal dan tenaga pengajar dari industri yang terlibat dalam memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0.

“Program ini sekaligus menyerlahkan UTeM di peringkat antarabangsa sebagai daya penarik pelajar antarabangsa terutama dari negara China dan di kalangan negara ASEAN,” katanya sewaktu majlis pemetraian MoA antara UTeM dan ZEM di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM di Melaka hari ini.

Turut hadir bersama adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof. Dr Zulkifilie Ibrahim, Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Madya Ir Dr Md Nazri Othman dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer, Prof Madya Dr Masrullizam Mat Ibrahim.

Sementara itu di pihak ZEM pula terdiri daripada CEO ZEM, Xu Gaoshan, Presiden Malaysia-China Chamber of Commerce, Datuk Tan Yew Sing dan Pengarah Asia Pacific Innotech Learning Centre Sdn. Bhd. (APILC), Tan In Fong.- MalaysiaGazette