Keadaan motosikal milik Nopiarni Aswirman selepas bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kilang Berapi.

JASIN – Dua wanita nyaris maut dirempuh sebuah kereta ketika cuba membantu seorang mangsa kemalangan maut di Jalan Kilang Berapi, di sini semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 7 petang itu, Nopiarni Aswirman, 30, yang cedera parah telah dikejarkan ke hospital namun dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kira-kira 90 minit kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, akibat kejadian itu, dua wanita terbabit, Norazlin Zah Abdullah, 22, dan Hasma Hafiza Zulkaflee, 36, masing-masing luka di kepala dan kaki serta patah kaki kanan.

“Kemalangan pertama berlaku apabila motosikal jenis Honda Wave ditunggangi Nopiarni yang juga pekerja kilang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Persona.

“Akibatnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah, manakala pemandu kereta yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Sekolah Sri Mendapat Kilang Berapi tidak cedera,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hasan berkata, beberapa minit selepas itu, dua wanita terbabit yang menaiki motosikal jenis Honda Wave telah berhenti untuk membantu mangsa yang parah.

“Bagaimanapun tiba-tiba sebuah Perodua Kenari yang datang dari arah Merlimau dipandu warga emas berusia 64 tahun merempuh mangsa yang parah dan kedua-dua wanita terbabit.

“Akibat kemalangan itu, kesemua mereka dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum mangsa kemalangan pertama disahkan meninggal dunia pada jam 8.25 malam di Hospital Melaka.

“Dua wanita yang cuba membantunya pula luka di kepala dan kaki serta patah kaki kanan,” katanya sambil menambah mangsa diserahkan kepada Jabatan Forensik untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
.
Ketiga-tiga kenderaan juga katanya, telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan. – MalaysiaGazette