Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kedudukan tangga ke-62 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh badan antarabangsa Transparency International pada tahun 2021 sudah dijangkakan, kata Ahli Jawatankuasa Amanah, Faiz Fadzil.

Beliau berkata, kedudukan rasuah negara kian merosot berbanding tahun lalu, iaitu tangga ke-57 walaupun telah dipulihkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tangga ke-51 pada 2019 dengan rekod skor tertinggi sebanyak 53 mata.

Katanya, kedudukan itu jelas menunjukkan pengkhianatan mandat rakyat oleh UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang membawa malapateka kepada negara.

“Kedudukan terkini Malaysia seakan-akan menunjukkan satu trend yang akan membawa negara kembali ke zaman kleptokrasi.

“Ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, Malaysia pernah merekodkan prestasi terburuk iaitu tangga ke-62 pada 2017.

“Pentadbiran (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob yang berpegang kepada konsep ‘scheme of things’ untuk mendapat sokongan Ahli Parlimen dengan pemberian jawatan dan saiz Kabinet yang besar adalah salah satu amalan rasuah dalam politik yang menyumbang kepada kemerosotan indeks rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Malaysia jatuh lima anak tangga kepada kedudukan ke-62 dalam penarafan global Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International Malaysia (TI-M) 2021 daripada 180 negara yang dikaji.

Ia merupakan tahun kedua berturut-turut negara mengalami penurunan dalam kedudukan tersebut.

Transparency International berkata, skor Malaysia jatuh di bawah paras 50 mata kepada 48 untuk 2021, daripada 51 dan 53 masing-masing pada 2020 dan 2019.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir mendakwa, beberapa bekas pemimpin di zaman BN yang dilepaskan daripada pertuduhan kes rasuah juga satu faktor penyumbang.

Selain itu, kata beliau, beberapa faktor lain termasuk projek besar yang meragukan seperti 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) dan laporan ketirisan wang perbelanjaan jabatan kerajaan sebanyak RM620.07 juta oleh Ketua Audit Negara.

Ujar beliau, kedudukan indeks rasuah itu jelas menunjukkan slogan kerajaan Melayu Islam hanya candu politik, sedangkan prinsip Islam mencegah rasuah tidak ditegakkan.

“Kedudukan indeks rasuah ini pasti menjejaskan prestasi ekonomi negara yang masih gagal dipulihkan kerana ia menghakis keyakinan pelabur asing.

“Kelembapan pelaburan asing akan menjejaskan ekonomi rakyat terutama dari sudut pekerjaan dan peluang perniagaan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Selagi pemerintah tidak ada kesungguhan politik untuk melawan rasuah, selagi itu ekonomi negara tidak akan pulih dan selama itu rakyat akan terus sengsara dengan pelbagai tekanan seperti kenaikan harga barang dan defisit kuasa beli,” katanya. – MalaysiaGazette