Mohd. Faisal Mohd. Rosli. Foto Kelantan United Facebook.

KUALA LUMPUR – Setelah sembilan tahun membina karier di Sri Pahang FC, bukan sesuatu yang mudah pemain pertahanan kiri pasukan itu, Mohd. Faisal Mohd. Rosli menempuh jalan berbeza pada musim ini apabila berhijrah ke Kelantan United.

Biarpun pada mula merasa janggal kerana Sri Pahang sudah menjadi sebahagian dirinya, Faisal menganggap ia sebagai lumrah kehidupan seorang pemain sambil rasa bersyukur kerana telah melalui banyak pengalaman berharga semasa pasukan tersebut.

Kini Faisal yang lebih mesra dengan sapaan Tocang berharap dia cepat menyesuaikan diri dengan suasana baharu dan tidak mempunyai tanggapan bermain di Liga Premier sebagai satu masalah besar.

“Ketika saya menanti tawaran dari pasukan lain, pengurusan Kelantan United menjadi pasukan pertama hubungi saya dan berkata mereka amat memerlukan pertahanan kiri.

“Tanpa berfikir panjang, saya menerima tawaran diberikan Kelantan United dan sememangnya ini sebagai satu cabaran baharu kerana banyak perkara saya kena sesuaikan telah lama berada di Kuantan.

“Bezanya sudah tentu banyak kerana selama ini di Sri Pahang, kebanyakan rakan sepasukan adalah kawan-kawan saya juga tetapi kali ini di Kelantan United, semuanya saya baharu hendak kenal.

“Setakat ini, saya tidak berdepan masalah setelah menjalani latihan dengan Syamsul Saad dan boleh dikatakan saya gembira dengan corak latihan yang disediakan, ” katanya.

Berasal dari Rompin, Faisal yang berusia 32 tahun menjadi pemain terakhir dari skuad Sri Pahang yang berjaya menjulang Piala Malaysia dua kali berturut-turut pada 2013 dan 2014.

Pada musim lalu, dia banyak bersaing dengan Fazly Mazlan di posisi pertahanan kiri selain pernah bertindak selaku pemain tengah ketika di bawah kendalian Dollah Salleh.

Sementara itu, Faisal menjelaskan dia akan cuba membantu Kelantan United walaupun sebahagian besar pemain terdiri daripada pemain-pemain muda.

“Pasukan ini agak menarik kerana ada lebih 90 peratus pemain yang berasal dari Kelantan dan ramai pemain muda, boleh dikatakan Kelantan United agak ‘low profile’ dari segi reputasi pemain.

“Saya harap Kelantan United mampu beri saingan dalam saingan Liga Premier walaupun ada pasukan lain yang mungkin ada ramai nama besar.

“Ada juga pemain berpengalaman seperti Syahrul Azwari yang turut bersama pasukan dan saya harap dari segi aspek itu, saya boleh beri sumbangan, ” katanya. – MalaysiaGazette