Baharom Embi

KUALA LUMPUR – Co-op Bank Pertama (CBP) mensasarkan jumlah pendapatan sebanyak RM410 juta dengan pendapatan daripada pembiayaan dijangka sebanyak RM297 juta pada 2022.

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata, jumlah itu bersamaan 72 peratus menyumbang kepada pendapatan operasinya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa optimis bagi merealisasikan sasaran berkenaan berikutan dengan kepelbagaian produk sedia ada dan juga perancangan yang dilakukan oleh pengurusan akan mampu untuk menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan lagi pendapatan.

”Ini berdasarkan pencapaian sehingga November 2021, perkhidmatan Ar Rahnu mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM254.22 juta iaitu melebihi pencapaian 2020 dan kami jangkakan pengeluaran ini dapat mencecah RM300 juta pada akhir Disember ini.

”Walaupun berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar dan tidak menentu, saya melihat ini adalah pencapaian yang positif dan saya yakin, tahun kewangan 2021 ini akan mencipta satu lagi rekod baharu untuk CBP,” katanya hari ini.

Beliau juga tidak menafikan, pembiayaan dan Ar-Rahnu adalah penyumbang utama kepada keuntungan CBP selain daripada
pembiayaan lain seperti pembiayaan perumahan, deposit tetap, sukuk dan sebagainya.

”Kita akan terus mempromosikan semua produk dan dalam masa yang sama, kita juga merancang dan merangka untuk memperkenalkan produk baharu seiring dengan apa yang dikehendaki oleh masyarakat,” katanya.

Selain itu, beliau juga memfokuskan untuk memantapkan lagi Pelan Strategik 5 tahun CBP yang memberi fokus kepada lima agenda iaitu kepelbagaian produk dan perkhidmatan; peningkatan kecekapan operasi; pengukuhan pemantauan dan kawalan; alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan amalan budaya kerja berprestasi tinggi.

Menerusi pelan yang akan berakhir pada 2025 ini, ia akan melonjakkan jenama CBP sebagai sebuah bank koperasi yang terunggul di Malaysia menjelang tahun 2026.

”Beberapa produk dan model perniagaan baharu dijangkakan diperkenalkan melalui pelan strategik ini yang akan disesuaikan mengikut keperluan anggota serta pelanggan supaya jenama CBP terus mendapat tempat di hati rakyat.

Beliau juga akan menetapkan Petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih holistik bagi memastikan sasaran yang telah ditetapkan berjaya dicapai. – MalaysiaGazette