KUALA LUMPUR – Semangat juang yang ditunjukkan oleh parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk meletakkan calon di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dianggap hanya berfantasi.

Penganalisis Sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, hasrat Pejuang itu tidak masuk akal dalam keadaan politik semasa.

“Pejuang perlu bermuhasabah diri untuk bertanding banyak kerusi. Ini kerana parti itu masih baharu dan perlu realistik dengan keadaan semasa.

“Jangan terlalu berfantasi dengan mendengar cakap sekeliling mereka (Pejuang) boleh menang di lebih 40 kerusi.

“Sebagai parti baharu, mereka perlu realistik untuk bertanding sejumlah (besar) di kawasan yang disasarkan,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi dengan tajuk ‘PRN JOHOR: Politik Atau Rakyat?’

Program bual bicara secara mingguan itu mempertemukan Awang Azman bersama Geostrategis & Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan disiarkan secara langsung di semua platform digital MalaysiaGazette.

Awang Azman berkata, Pejuang harus belajar daripada kesilapan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Ketika itu Bersatu merasakan boleh menang di lebih 50 kerusi Parlimen dan menang hanya 13 kerusi.

“Begitu juga parti Pas yang bertanding lebih 150 kerusi, atas dasar yakin boleh menang, tetapi menang hanya tidak sampai suku pun.

“Inilah pengajaran buat orang politik supaya jangan berfantasi,” katanya.

Prof Madya Dr Awang Azman Awang Awang Pawi ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi bersama Geostrategis & Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan dan dihoskan Haslina AR Kamaludin.

Jelas Awang Azman lagi, Pejuang tidak boleh tamak dan harus berjiwa besar sebagai sebuah parti baharu dalam dunia politik tanah air.

“Pejuang perlu akur dengan kekuatan mereka sebagai parti baharu.

“Jangan berselindung di sebalik data keahlian, jumlah komposisi yang aktif dan sebagainya,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, dengan berdasarkan data tersebut, barulah Pejuang boleh menilai untul Langkah seterusnya.

“Kalau dah tahu akan banyak kalah daripada menang, janganlah menuntut kerusi yang lebih daripada empat sahaja, sama seperti Pas.

“Jangan kerana keegoan boleh musnahkan masa depan parti mereka sendiri hingga menjatuhkan imej dan reputasi pemimpin mereka,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh berkata, parti itu akan bertanding di lebih 40 kerusi Dun pada PRN Johor.

Pejuang juga mengumumkan tidak akan menyokong mana-mana pihak dan bertanding sendirian walaupun tidak di semua 56 kerusi. – MalaysiaGazette