Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas bukan mahu ajar itik berenang tapi hendak selamatkan itik patah kaki dalam PRU-14, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Malangnya bila kaki sudah sembuh boleh berenang sendiri, tinggal kita,” katanya merujuk kerjasama parti itu bersama UMNO sejak kebelakangan ini.

Abdul Hadi turut menyelar sikap sesetengah pimpinan UMNO yang disebut kluster mahkamah, kluster kalah dan tiada jawatan yang didakwanya punca berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Strategi buat PRN tak baik, yang buat ini kluster mahkamah, kluster kalah dan tidak ada jawatan. Bukan semua dalam UMNO, cuma kluster ini,” ujarnya dalam sidang video sidang media di media sosialnya hari ini.

Abdul Hadi menasihatkan pimpinan UMNO kluster mahkamah supaya mempertahankan diri di mahkamah dan kluster kalah supaya bertanding semula dalam pilihan raya umum kelak.

Mengadakan PRN hanya menyusahkan rakyat, katanya.

Bagaimanapun Abdul Hadi memberi amaran Pas juga boleh melakukan strategi sendiri dan parti itu mempunyai kekuatannya tersendiri.

Beliau juga mendakwa kemenangan UMNO dalam PRN Melaka bergantung kepada undi teras sedangkan undi atas pagar dan muda tidak ada.

“Agenda kita satukan ummah, UMNO ada strategi, kita ada straegi juga kita masuk (PRN Johor), tunggu dan lihat,” kata Ahli Parlimen Marang itu lagi.

Menurut beliau, taktik mengadakan PRN satu polisi tidak sihat dan mempertikaikan sama ada UMNO mahu buat PRN setiap negeri selepas Melaka dan Johor.- MalaysiaGazette