Najmuddin (tengah) bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminudin Shari menyampaikan lesen perniagaan kepada orang awam yang hadir pada Majlis Perasmian Kaunter Bersepadu Majlis Perbandaran Kajang dan Pelancaran Sambutan Jubli Perak ke 25 Tahun di Majlis Perbandaran Kajang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 28 JANUARI 2022.

KAJANG – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari enggan mengesahkan spekulasi adiknya yang disebut-sebut bakal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor itu tidak mahu melobi untuk adiknya sebaliknya, menyerahkan semua itu kepada parti untuk diputuskan.

“Saya tak boleh sahkan sebab itu keputusan pihak parti Keadilan negeri Johor dan juga pihak parti (Keadilan).

“Setakat ini pun adik saya tiada berkomunikasi…dia buat aktiviti saja di bawah mendapat sokongan kita tengok keadaanlah, saya tak lobi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kaunter Bersepadu Majlis Perbandaran Kajang dan Pelancaran Sambutan Jubli Perak (25 Tahun MPKj) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain.

Mengulas lanjut Amirudin bagaimanapun tidak membantah sekiranya adik lelakinya itu dicalonkan untuk bertanding pada PRN Johor.

Ujarnya, setakat beliau ketahui senarai calon yang dicadangkan untuk bertanding pada PRN itu akan dikemukakan oleh pihak Majlis Pimpinan parti peringkat negeri Johor.

Tambahnya, beliau akan menyokong siapa sahaja calon yang dicadangkan oleh Keadilan dan Pakatan Harapan untuk diketengahkan pada pilihan raya berkenaan.

Terdahulu hari ini, media melaporkan adik Amiruddin yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pontian, Aziz Shari disebut-sebut bakal menentang Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad bagi kerusi DUN Benut.

Desas-desus itu hangat diperkatakan apatah lagi Aziz adalah anak jati kelahiran Kampung Asam Kumbang, Benut yang aktif dalam kerja kemasyarakatan bersama badan bukan kerajaan di negeri ini dan Benut sejak 2019. – MalaysiaGazette