Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat projek pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang melibatkan kos kira-kira RM7.2 bilion.

Desakan itu dibuat Pergerakan Wira Putra Malaysia, yang merasakan wujud masalah dalam pasukan pengurusan Kementerian Pertahanan berikutan semua aset berkenaan masih tidak dimiliki sehingga kini.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, apakah ada masalah dalam pasukan pengurusan Kementerian Pertahanan?

“Terdahulu, helikopter tempur ringan MD530G yang dijangka diterima pada Disember 2018, tetapi masih tertangguh hingga ke hari ini.

“Kemudian isu kapal LCS mula dibangkitkan dengan penggunaan dana lebih RM6 bilion, tetapi kapalnya tidak diterima mengikut dijadualkan.

“Malah, ditambah lagi dana baru RM1.2 bilion untuk membeli kapal baharu dari syarikat China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak RM7.2 bilion wang negara yang digunakan itu bukan kecil, bahkan hasil sepatutnya diterima dari jumlah itu boleh menjadikan sistem pertahanan negara lebih hebat.

Bagaimanapun, katanya, apa yang rakyat dapat ialah indah khabar dari rupa.

“Usahkan kapal, bayangnya pun masih tidak kelihatan.

“Oleh itu, RCI perlu ditubuhkan. Perlu siasat sama ada terdapat unsur rasuah atau salah urus kerana melibatkan kerugian jumlah wang terlalu besar terhadap negara.

“Walaupun bekas Pegawai Eksekutifnya disoal siasat, tetapi ia tidak memadai. Perlu siasatan menyeluruh dan kenalpasti punca secara teliti. Tiada siapa pun boleh dibiar terlepas daripada undang-undang,” tegasnya.

Menurut Nasrul Ali Hasan, kapal yang sepatutnya diserahkan pada April 2019 masih lagi tiada khabar sehingga kini.

Katanya, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dibuat oleh Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), tetapi tidak kedengaran sebarang kenyataan berhubung siasatan terhadap isu itu dilakukan.

“Adakah terdapat individu tertentu terlibat hingga hal ini seperti disembunyikan dan tiada maklumat mengenai hasil siasatannya? Atau SPRM memilih kes tertentu untuk lakukan siasatan?

“Kerajaan jangan berdiam diri. Terlalu banyak salah laku, rasuah dan penyelewengan merugikan negara yang dikaburi dan diselindungi.

“Sedangkan, pencuri susu bayi boleh dicari hingga ke lubang cacing, ditangkap dan dikenakan hukuman, tetapi penyumbangleweng duit rakyat yang sepatutnya boleh diguna untuk membantu meningkat ekonomi rakyat dibiar bebas dan memegang kuasa penting dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette