Alawiyah Talib

MERSING – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Endau, Alawiyah Talib akan terus kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) biarpun namanya dipetik akan kembali menyertai UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Katanya, beliau mempunyai prinsip dalam perjuangan politik dan tidak akan meninggalkan Bersatu hanya kerana untuk bertanding pada PRN.

“Saya yakin dengan parti yang saya wakili dan jika nama saya dipilih sekali lagi untuk bertanding di DUN Endau, saya sudah bersedia,” katanya ketika ditemui di Air Papan, di sini, hari ini.

Menurut Alawiyah, sepanjang menjalankan tugas sebagai ADUN sejak menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, dia diterima baik oleh rakyat malah tidak menghadapi masalah untuk berurusan dengan siapa sahaja.

“Saya telah dipilih sebagai ADUN Endau dan biarpun telah bertukar parti, tugas saya sebagai wakil rakyat tetap menjadi keutamaan tanpa mengira ideologi politik.

“Setakat hari ini, saya bersyukur kerana amanah yang diberi kepada saya dapat dilaksanakan sebaik mungkin walaupun tidak mencapai seratus peratus.

“Saya tolak tepi semua kecaman kerana bagi saya, tanggungjawab untuk membantu rakyat itulah paling saya utamakan dalam keadaan apa sekalipun,” ujarnya.

Jelas bekas Ketua Wanita Umno Mersing itu, siapa pun yang menjadi saingan sekiranya dipilih sebagai calon pada PRN ini, biarlah ia berlangsung dalam suasana sihat.

Katanya, rakyat berhak membuat pilihan untuk memilih wakil rakyat mereka dan sebaiknya kempen perlu dilakukan secara berhemah tanpa menyentuh peribadi calon.

Pada PRU14, Alawiyah atas tiket UMNO tetapi beralih kepada parti Bersatu apabila kemelut politik melanda negara.

Rutin hariannya penuh dengan aktiviti bersama rakyat yang mana akhirnya dia diterima baik oleh pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira warna kulit.

Alawiyah tidak memegang sebarang jawatan dalam bahagian selepas kalah pada pemilihan parti namun itu bukan halangan baginya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Jujurnya, saya masih ingin berkhidmat untuk rakyat di Endau kerana tempoh sebenar khidmat saya masih belum habis.

“Terserah kepada pucuk pimpinan parti dan sebagai penyandang, saya terima apa juga keputusan dengan hati terbuka dan yang penting, kesetiaan saya pada parti tidak akan berubah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast