Mesin ATM BSN menjadi kemudahan perbankan pertama terletak di Balai Polis Sungai Lembing.

KUANTAN – Urusan perbankan di Sungai Lembing dijangka lebih rancak apabila Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan perkhidmatan mesin ATM kepada penduduk pekan lama bermula hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, perkhidmatan tersebut akan dimanfaatkan penduduk lapan buah kampung di kawasan tersebut.

“Dengan adanya mesin ATM ini bukan sahaja memudahkan penduduk kampung malahan dan membantu (memberi kemudahan kepada) para pelancong yang mengunjungi Sungai Lembing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Bank Simpanan Nasional (BSN) Komuniti Mikro dan Kemudahan Perbankan Sungai Lembing, hari ini.

Ujarnya, kos menyediakan perkhidmatan tersebut dianggarkan RM5,000 sebulan dan sebanyak 238 transaksi dijangka dilakukan setiap hari.

Selain itu, khidmat Ejen Bank BSN turut disediakan kepada penduduk Sungai Lembing bagi kemudahan urusan pembayaran bil utiliti. – MalaysiaGazette