R. S. Thanenthiran

JOHOR BAHRU – Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) berharap diberi peluang dan kerusi untuk turut bertanding dalam atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi sebagai penghargaan dan kesetiaan mereka kepada komponen itu.

Presidennya, Datuk Seri R. S. Thanenthiran berkata, permohonan itu juga telah dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi BN sebelum ini.

“Berapa banyak kerusi kita tidak tetapkan dan apa yang kami inginkan hanyalah peluang untuk sama-sama berkhidmat dalam membantu  kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama Makkal Sakti di Hotel Granada, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Makkal Sakti Johor, Datuk Seri Dr. M. Suriya dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

Thanenthiran turut berkata, mereka akan terus setia bersama BN walaupun terdapat beberapa tawaran kerjasama daripada parti lain selepas BN mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Pihaknya juga sudah sedia menggerakkan seramai 27,000 ahli parti itu di Johor untuk  berkempen bagi membantu BN dalam pilihan raya negeri ini.-MalaysiaGazette