Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU – Pas sudah tidak lagi berminat untuk bekerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN), kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, ini kerana parti itu dilihat memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakan itu bukannya sesuatu yang baharu memandangkan Pas turut mengambil keputusan sama pada PRN Melaka.

“Jika dilihat mereka (Pas) yang ingin memuktamadkan MN, bukan kita (UMNO) tetapi mereka (Pas) sendiri.

“Kita pun faham Pas mahu berlawan seperti mana di Melaka, kita tidak kata kerjasama MN ini telah muktamad, tetapi Pas sendiri semalam bersama Bersatu. Jadi tidak nampak ruang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perjumpaan antara UMNO dan Parti Makkal Sakti Malaysia, di sini, hari ini.

Semalam, muzakarah Bersatu bersama Pas membuat ketetapan bahawa Pas akan bersama PN dalam menghadapi PRN Johor, sekaligus menolak bekerjasama dengan UMNO.

Menurut Ahmad, BN tidak mempunyai masalah berhubung perkara itu kerana telah bersedia untuk bertanding secara solo dalam PRN yang akan diadakan tidak lama lagi. – MalaysiaGazette