Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JANUARI 2022.

PETALING JAYA – Sekurang-kurangnya 15 nama calon dalam kalangan wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah dihantar kepada Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia adalah sebahagian daripada tuntutan sayap parti itu yang mahu memberi ruang kepada sekurang-kurangnya 30 peratus wanita Bersatu dan Wanita PN untuk bertanding pada pilihan raya itu.

“Kita sudah hantar nama 15 orang daripada wanita PN,” katanya pada sidang media di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyantuni penghuni Pusat Jagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) Sempena Tahun Baharu Cina di rumah kebajikan Persatuan Kebajikan Chen Ai OKU, di sini.

Pada Ahad lalu, Ketua Srikandi Bersatu itu berharap PN memberi ruang kepada sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita Bersatu dan Wanita PN untuk bertanding pada PRN Johor. – MalaysiaGazette