(Picture for representational purposes only) Foreign construction workers queuing up for their Covid-19 screening following the outbreak at Jalan Batai, Bukit Damansara. PIX: AFIQ RAZALI / MalaysiaGazette / 09 MAY 2020 foreign workers intake Ministry of Human Resources
Pekeliling kononnya kerajaan dalam proses menamatkan khidmat pautan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang digunakan untuk tujuan pemprosesan dan pengurusan pekerja asing ke Malaysia adalah palsu.- Gambar hiasan.

SETAKAT bulan Oktober 2021, terdapatnya 1.38 -2.1 juta pekerja asing yang berdokumen berdasarkan data-data dari Sistem Insuran Pekerjaan dan Kementerian Sumber Manusia yang kini sedang berkhidmat di Malaysia. Namun, jumlah pekerja asing tanpa izin dianggarkan pada 3.5 hingga 5 juta.

Daripada 15 juta jumlah kekuatan tenaga kerja di Malaysia, pekerja asing yang berdokumen telah menyumbangkan kira-kira 14 %.

Namun yang meresahkan, angka ini tidak termasuk mereka yang tidak berdokumen. Anggaran yang munasabah meletakkan jumlah peratus pekerja bukan tempatan pada 30%. Maksudnya, setiap 10 pekerjaan di tanah air, 3 adalah pekerja asing.

Malaysia mengalami pembangunan yang pesat sejak 80-an dan kita masih menerajui kebanyakkan negara di Asia dalam perkembangan ekonomi pada hari ini. Keperluan tenaga kerja adalah mustahak untuk memastikan pelbagai sektor dapat beroperasi dengan lancar dan saling menyumbang antara satu sama lain.

Antara sektor-sektor yang Malaysia banyak bergantung kepada pekerja asing adalah sektor pertanian, sektor pembinaan dan juga sektor pembuatan. Sektor-sektor ini memerlukan tenaga buruh dan tenaga kerja separuh-mahir. Definisi yang lebih mendekati dengan realiti bagi sektor-sektor ini adalah 3D ( Dangerous, Dirty, Difficult ataupun Bahaya, Kotor dan Susah). Kerja-kerja yang berunsurkan 3D ini tidak digemari oleh pekerja tempatan jikalau gajinya adalah rendah.

Mengikut kajian Bank Dunia (World Bank), Pekerja Asing Tanpa Izin di Malaysia boleh dipecahkan kepada 36% dalam sektor pembuatan, 19% dalam sektor pembinaaan dan 15% dalam sektor pertanian, manakala peratusan ini adalah lebih tinggi bagi pekerja asing berdokumen. Penglibatan mereka dalam sektor lain termasuk sektor perkhidmatan pelancongan, perkhidmatan domestik dan sebagainya. 

Ambilkan sektor pembinaan sebagai contoh, pekerja asing (tanpa mengira berdokumen atau tanpa izin) sanggup menawarkan perkhidmatan buruh dalam keadaan yang membahayakan, mengotorkan dan menyusahkan, bekerja 12 jam sehari dan 7 hari seminggu, dengan gaji RM 1200 sebulan tidak termasuk kos dan hutangan lain. Pekerja tempatan yang kebanyakkan berkelayakan lebih tinggi dalam pendidikan sememangnya tidak sanggup untuk berbuat demikian.

Namun, jikalau penawaran gaji adalah tinggi, contohnya RM 3500 sebulan untuk kerja-kerja yang disebutkan, maka kos pembinaan akan melambung tinggi. Kebanyakkan pekerja tempatan juga mengharapkan faedah-faedah yang sewajarnya seperti cuti 2 hari seminggu, had waktu kerja 8 jam sehari, cuti sakit, cuti tahunan. Ini jelas akan melanjutkan masa projek pembinaan, dan secara langsung meningkatkan kos pembinaan.

Sanggupkah pembeli rumah membayar lebih daripada sekarang, contohnya 30%, sekadar untuk menyokong usaha ataupun pendekatan untuk menarik minat pekerja tempatan dalam sektor pembinaan? Begitu juga sama dengan sektor pembuatan dan pertanian. Sanggupkah para pengguna tempatan membayar lebih untuk produk yang sama? 

Dengan kata lain, kewujudan pekerja asing ( berdokumen atau tanpa izin) adalah kerana pengguna-pengguna tanah air tidak sanggup menerima kos-kos nyata, sosial dan ekonomi yang berlebihan untuk menampung pertukaran pekerja asing kepada pekerja tempatan.

Menurut Kesatuan Majikan Malaysia (MEF), pada tahun 2020, pengusiran pekerja asing telah menyebabkan kerugian yang tidak boleh dipulihkan sebanyak RM 10 Billion dengan kekurangan 40,000 pekerja dalam sektor pertanian sahaja. Maksudnya, nyata dengan keadaan kekurangan pekerja, pekerja tempatan masih tidak sanggup mengantikan tempat pekerja asing yang seringkali dikaitkan dengan 3D.

Pergantungan negara kita adalah tinggi terhadap pekerja asing.  Pegawai penyelidik daripada Institut Pengajian Khazanah (KRI), Tuan Jarud Romadan menyimpulkan bahawa persepsi “ Pemberhentian kemasukkan pekerja asing akan mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia adalah sekadar tanggapan tanpa mengambil kira sumbangan pekerja asing kepada ekonomi tempatan”.

Tiada kajian yang menunjukkan bahawa pengurangan pekerja asing akan menurunkan kadar pengangguran secara ketara kerana perbezaan dalam bidang sektor pekerjaan yang diperlukan oleh pekerja asing dan tempatan. Dalam loghat ekonomi, pekerja tempatan dan asing mempunyai “pasaran” yang berbeza.

Secara khusus, sumber-sumber tenaga kerja tempatan memerlukan penawaran pekerjaan-pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap pendidikan dan jangkaan warganegara tempatan, manakala pekerjaan yang tidak diingini dengan kadar gaji yang tidak dapat dipertimbangkan akan ditawarkan kepada pekerja asing.

Sebuah negara yang dapat menunjukkan jurang perbezaan yang lebih ketara daripada Malaysia adalah United Arab Emirates (UAE). Populasi UAE adalah 9.2 juta, dimana 7.8 juta (bersamaan dengan 88 %) adalah pekerja asing yang sah. Maksudnya, setiap warganegara UAE, terdapatnya 7 orang pekerja asing di negara yang berdaulat itu.

Adakah negara kita memerlukan perkhidmatan pekerja asing? Jawapan mudahnya adalah – ya. Bukannya kerajaan, majikan mahupun pemilik syarikat yang memerlukan perkhidmatan mereka, malah, kita sebagai pengguna, memerlukan pengorbanan mereka untuk menyelesakan kehidupan kita.

Apakah yang kita sebagai rakyat boleh lakukan untuk menangkis situasi ini? Kita seharus sekurang-kurangnya memahami keperluan pekerja asing adalah datang daripada kita diri sendiri. Meskipun dari sudut pandangan sosial politik yang mengatakan pekerja asing telah mengambil tempat pekerjaan pekerja tempatan, kita seharusnya berfikiran waras dan menilai isu ini dari perspektif ekonomi dan pembangunan masyarakat.

Selain itu, kita seharusnya mengakui keperluan pekerja asing sebagai salah satu unsur penting dalam usaha pembangunan negara, dan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada mereka sebagai seorang pekerja yang bermaruah, diberi layanan yang sepatutnya dan membela hak mereka sebagai manusia.

Ini akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang mudah didampingi oleh pekerja asing yang berkualiti dan bermutu, sejurus menyelesaikan masalah yang dihadapai ekonomi kita khususnya dalam waktu endemik, dimana pemulihan ekonomi adalah keutamaan bagi semua sektor, pihak dan lapisan masyarakat, untuk membina satu negara yang kuat dan dihormati.

Zee How Tai
Peguambela & Peguamcara
Penganalisa politik isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.