Pihak polis termasuk forensik sedang menjalankan siasatan kes seorang lelaki mati ditembak di sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, Perai, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki tempatan ditemui mati dengan 12 das kesan tembakan di kawasan parkir kereta sebuah kondominium mewah di Jalan Baru di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku jam 8.45 malam membabitkan mangsa berusia 31 tahun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.30 malam sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi.

Mohd Shuhaily (tengah).

Jelas beliau, sebaik tiba pihaknya menemui seorang lelaki dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di tingkat tiga parkir kondominium berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa diserang lebih dua suspek bersenjatakan pistol.

”Buat masa ini kita tidak boleh beritahu berapa das tembakan terkena mangsa namun pemeriksaan pihak forensik di lokasi menemui 12 kelongsong peluru.

“Semakan juga mendapati mangsa menyewa di kondominium mewah ini sejak lima bulan lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian ini bermotifkan dendam susulan mangsa mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk dikehendaki polis. MalaysiaGazette