Produk R-38 keluaran Universiti Malaysia Terengganu.

KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik melalui perjanjian perlesenan di antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Essentiq Pharma Sdn Bhd  dijangka dapat memperluaskan edaran produk R-38  ke seluruh Malaysia.

R-38 adalah produk herba bagi mengatasi masalah sakit sendi.

Menurut Prof. Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar, Naib Canselor UMT, kajian secara
saintifik telah dijalankan ke atas satu ramuan herba yang dinamakan R-38 dan didapati mempunyai sifat-sifat terapeutik yang boleh membantu melegakan masalah berkaitan dengan sakit yang sering terjadi dibahagian sendi terutama pada tangan, kaki, lutut dan lain-lain sendi tubuh.

Antara kesakitan yang dialami adalah akibat dari bengkak, keradangan, rasa tegang dan ketat, rasa panas dan menyucuk. Pengumpulan garam asid urik pada sendi, pengurangan cecair sendi, penipisan dan haus tulang adalah punca utama sakit bahagian sendi yang sering dihidapi oleh ramai orang.

Ramuan R-38 adalah seratus peratus herba serta menekankan kawalan kualiti dalam penghasilan ubatan herba khususnya kaedah tradisional.

Hanya herba terbaik dipilih dan diproses dengan teliti untuk memastikan keaslian,
kebersihan dan mutu produk R-38, katanya.

Sementara itu Prof Dr Fadzilah Adibah yang merupakan penyelidik produk ini berkata, antara herba ubatan yang terdapat dalam produk R-38 ialah lengkuas (Alpinia galangal), misai kucing (Orthosiphon stamineus) dan temulawak (Curcuma xanthorrhiza).

Kesemua herba-herba ini telah dikaji secara saintifik sebagai herba untuk masalah sendi dan arthritis.

Antara hasil kajian mendapati herba-herba ini mempunyai sifat antioksidan, anti radang, analgesik dan lain-lain berkaitan arthritis.

Tambahnya kajian pemula khusus ke atas ramuan R-38 ini juga mendapati ianya bersifat antioksidan, anti keradangan, berupaya merencat penghasilan enzim Xanthine Oxidase (XO) yang boleh menyebabkan penurunan kandungan asid urik, merencat enzim Cyclooxygenase-2 (COX-2) yang mana akan mengurangkan keradangan dan rasa sakit.

Disamping itu, R-38 juga didapati berupaya menurunkan bahan biokimia penggalak keradangan tubuh iaitu Interleukin-6 (IL-6) dan Tumour Necrosis Factor Alpha (TNF-a). Penurunan dua bahan biokimia ini akan menurunkan keradangan.

Ujarnya lagi produk herba R-38 ini juga telah melalui kajian pasaran selama lima
tahun dan mendapat maklumbalas yang sangat baik dari pengguna.

Untuk rekod UMT mempunyai sebanyak 535 hak harta intelek, terdiri dari
paten yang telah diluluskan, paten yang didaftarkan, rekacipta industri, utiliti
inovasi, cap dagangan, hak milik dan rahsia dagangan.

UMT juga mempunyai banyak produk berpotensi yang boleh dikomersialkan
dengan Tahap Ketersediaan Teknologi (Technology Readiness Level (TRL)
dari skala 4 hingga 8.

Antara produk yang mempunyai Tahap Ketersediaan Teknologi (TRL) 8 di
UMT adalah produk R-38, BF Nano-V: Cosmetic, BioFloc (TRL 7), Mic-Pyro
(TRL 7), PKC-Nutri+ (TRL 7) dan produk-produk lain. – MalaysiaGazette