Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Samad berkata, beliau tidak akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Johor.

Ini kerana, beliau sedang menghadapi pendakwaan dalam mahkamah.

Lagipun, sebelum Pilihan Raya Ke-14, beliau memang berhajat untuk memberi laluan kepada calon baru dari kalangan bakat baru.

”Dalam kedudukan saya menghadapi kes LHDN/SPRM dengan tuduhan AMLA, iaitu pengubahan wang haram, saya rasa lagi tidak wajar saya mewakili parti sebagai calon mahupun di PRN atau PRU,” katanya.

Walaupun ada pihak yang membandingkan kedudukan beliau dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman yang juga sudah didakwa di mahkamah atas tuduhan jenayah pecah amanah tapi beria-ria nak bertanding di PRN Johor, veteran UMNO ini berkata, masing-masing ada prinsip tersendiri.

”Sungguhpun saya tahu pendakwaan terhadap saya adalah keputusan politik dan pendakwaan selektif tapi saya tidak mahu berlindung di sebalik kedudukan politik.

”Saya pun bukan macam Mas Ermieyati atau Mustapa Mohamed yang melompat parti untuk menyelamatkan diri dari pendakwaan,” jelas beliau.

Beliau menegaskan, jawatan dalam parti adalah bersikap sukarela dan pilihan ahli-ahli tapi jawatan wakil rakyat adalah dalam institusi politik tertinggi negeri dan negara.

Kalau didakwa semasa memegang jawatan wakil rakyat, beliau akan pegang jawatan itu sehingga habis tempoh dewan dan tidak akan bertanding semula.

Ujarnya, tetapi kalau letak jawatan semata-mata kerana didakwa, habis pula kelayakkan selama lima tahun

”Mudahkan kalau jelas prinsip yang dipegang,” tambah beliau. – MalaysiaGazette