Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dibunuh rakan senegaranya dalam satu kejadian di hadapan rumah kedai di Jalan Todak 5, Seberang Jaya hari ini.

Difahamkan, rumah kedai tiga tingkat itu merupakan asrama pekerja dan kedua-dua lelaki terbabit menetap di asrama tersebut.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa berusia 46 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah dan tertiarap di atas jalan sebelum menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian pada jam 2.45 petang.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Difahamkan, hasil siasatan polis mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan rakannya berusia 31 tahun sebelum dia ditikam.

Pemeriksaan pihak polis di asrama tersebut mendapati tempat  itu dihuni enam pekerja berdasarkan bilangan tempat tidur.

Malah, pemeriksaan lanjut membawa kepada tangkapan suspek yang sedang bersembunyi dalam keadaan cedera di kepala akibat ditetak dalam pergaduhan terbabit.

Suspek kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan kini dirawat di zon merah.

Dalam serbuan itu, pihak polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSJ dan proses bedah siasat dijangkakan Khamis ini selepas mendapat keputusan ujian calitan Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast