Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.

SEBERANG PERAI – Lelaki tempatan yang ditembak dengan 12 das di tempat parkir sebuah kondominium di Jalan Baru, Perai di sini, semalam dipercayai pengedar dadah.

MalaysiaGazette difahamkan, empat lelaki bertopi keledar menunggang dua motosikal memasuki kawasan parkir tersebut kira-kira jam 8.30 malam sebelum menunggu mangsa berusia 31 tahun itu berhampiran kotak parkirnya di tingkat tiga.

Mangsa ketika itu dipercayai bersama kekasihnya baru pulang makan malam dan diserang menggunakan pistol sebaik keluar daripada keretanya.

Kira-kira 12 das tembakan dilepaskan ke arah mangsa sebelum dia rebah tidak jauh daripada kotak parkir keretanya.

Difahamkan, lima das terkena bahagian kepala mangsa manakala empat lagi di bahagian badan.

Pihak polis dan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, kekasih lelaki tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua suspek melarikan diri sejurus kejadian.

Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa menyewa sebuah unit kondominium mewah itu dengan bayaran bulanan RM1,700 dan dia tinggal bersama kekasihnya di situ sejak lima bulan lalu.

Selain itu, semakan rekod lampau pihak polis mendapati mangsa mempunyai 11 rekod jenayah selain dikehendaki sejak tahun 2018.

Mangsa ditembak ketika bersama kekasihnya.

Antara rekod lampau membabitkan mangsa termasuk kes bunuh, melakukan ugutan, mendatangkan kecederaan serta khianat.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki mati ditembak 12 das di kondominum mewah

MalaysiaGazette semalam melaporkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kejadian dan tidak menolak kemungkinan insiden itu bermotifkan dendam susulan mangsa mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk dikehendaki polis. – MalaysiaGazette