Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh seminggu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini nama-nama yang akan dicalonkan oleh parti telah ada namun ia belum dimuktamadkan.

“Dalam masa seminggu ini kita akan putuskan…Senarai calon itu dan ada, tapi kita belum putuskan siapa yang kita nak pilih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Resepsi Tahun Baru Cina, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Naib Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung PN; Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Sementara itu ditanya mengenai bakal calon yang bakal menggantikan beliau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir selepas mengumumkan tidak mempertahankan kerusi DUN tersebut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, ketika ini ramai calon PN yang boleh dipilih untuk menggantikan beliau.

“Tak payah saya ulas lagi, tunggu sahaja…Johor ni calon yang berkelayakan ramai, kadang-kadang tu susah nak pilih sebab ramai yang layak,” ujarnya.

Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN berkenaan pada PRN kali ini.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi membolehkan lebih ramai calon muka baharu ditampilkan parti itu dalam PRN berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Muhyiddin menang di DUN Gambir selepas memperoleh majoriti 3,088 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk M Asojan serta calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan tarikh penting iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan mengundi biasa bagi PRN Johor selepas mesyuarat khas mereka pada 9 Februari ini.

PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast