Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Seperti sudah menjangka akan kebangkitan dan kemenangan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tampil dengan beberapa persoalan dan dakwaan.

Antaranya, siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri dalam kalangan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Dakwa Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Putri, ketika ini bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak seolah-oleh sudah bersedia untuk kembali menerajui jawatan itu melalui PRN Johor ini.

Jelasnya, di sebalik terpalit dengan kes rasuah berprofil tinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib seperti sudah mula bangkit dalam arena politik apabila tampil memberi ucaptama pada persidangan antarabangsa, selain muncul di muka depan media arus perdana.

Mengambil contoh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sedang cuba kembali ke White House degan membuat pengumuman organisasi politiknya telah meraih AS$122 juta, satu jumlah begitu besar bagi seorang bekas presiden.

“Untuk makluman Trump telah berikrar untuk beri pengampunan kepada pemberontak di Capitol AS jika dirinya kembali bertanding dan menang kelak. Najib pula sedang membuat persediaan untuk kemunculan semula.

”Rata-rata penyokong Trump pula sudah teruja untuk Trump kembali sebagai presiden dengan menggelarnya Presiden ke-45 dan Presiden ke-47.

“Sama seperti Trump yang mahu membersihkan pemberontakan di bangunan Capitol pada tahun lepas, Najib juga sedang membersihkan namanya dari skandal 1MDB.

“Beliau adalah penjenayah dengan kesalahan rasuah namun antara ahli politik yang mempunyai kedudukan kewangan yang begitu kukuh serta memiliki tentera siber yang besar untuk menutup mata umum dengan maklumat salah,” katanya dalam blog pagi ini.

Najib Razak

Dalam pada itu, kata Kit Siang sebelum ini, komponen Barisan Nasional (BN) MIC pernah tampil bangkitkan soalan siapakah yang jadi calon Perdana Menteri tahun lepas.

“Jadi siapa Perdana Menteri UMNO selepas PRU-15?

“Adakah Ismail Sabri atau persoalan adakah MIC dan MCA akan sokong Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11 kelak?,” soalnya. -MalaysiaGazette