Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Parti politik hari ini harus mendengar ahli akar umbi dan sudah tidak boleh lagi membuat keputusan sendiri.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, perkara itu telah digunakan dalam UMNO yang mana ahli parti diberi hak bersuara kepada kepimpinan tertinggi parti.

“Dalam UMNO kita lebih terbuka. Kita galakkan akar umbi kita untuk bertanya soalan kepada pemimpin supaya penerangan dapat dibuat dengan jelas dan berterusan berkenaan hala tuju parti yang memberi kesan kepada semua ahli, dan supaya keputusan boleh dibuat secara lebih berkonsensus.

“Hampir semua (jika tidak semua) keputusan-keputusan penting dalam UMNO dibuat berdasarkan maklum balas dan persetujuan akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, ahli akar umbi akan menjadi ejen semak-imbang kerana ia penting supaya pemimpin lebih bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan dibuat.

“Ia juga membuatkan UMNO lebih demokratik dan stabil.

“UMNO mempraktikkan hal ini dalam membuat dasar-dasar kerajaan untuk rakyat dengan sentiasa mendengar denyut nadi dan aspirasi rakyat sebelum membuat sesuatu keputusan,” katanya lagi.

Isham berkata demikian selepas menempelak sikap pemimpin Pas yang tidak mahu ahli-ahlinya mempersoalkan keputusan kepimpinan parti itu dan perlu menerima arahan sahaja.

“Semua pemimpin-pemimpin politik tidak kira parti dan juga pemimpin-pemimpin kerajaan perlu bersikap lebih terbuka untuk mendengar maklum balas daripada rakyat dan akar umbi.

“Zaman pemimpin dan kerajaan tahu semua dan membuat keputusan sendiri tanpa maklum balas rakyat telah lama berlalu.

“Lebih banyak maklum balas kita terima daripada orang ramai yang kita wakili, lebih baik dan lebih berkesan kita boleh bantu rakyat dengan apa yang mereka perlukan,” katanya.

Jelas Isham lagi, menerusi maklum balas yang diterima, masih ramai akar umbi parti itu mahukan Pas meneruskan Kerjasama Bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional.

“Ada sebahagian ahli Pas tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dalam Perikatan Nasional.

“Mereka lebih cenderung kepada Muafakat Nasional dengan UMNO. Namun pemimpin-pemimpin atasan Pas tidak mahu mendengar saranan akar umbi mereka ini,” katanya lagi.

Minggu lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memutuskan parti itu akan meneruskan kerjasama politik bersama  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Kerjasama itu merupakan Kerjasama rasmi seperti PRN Melaka November tahun lalu.

Pas bersama PPBM serta parti Gerakan membentuk gabungan dan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional.

PN bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka namun gabungan ini hanya menang dua kerusi iaitu di Bemban dan  Sungai Udang. – MalaysiaGazette