Akmal menyifatkan dia hanya menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan bukan berkempen.

JOHOR BAHRU – PKR hanya akan memuktamad senarai calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sayap PKR iaitu Wanita serta AMK sudah pun menyerahkan senarai calon kepada kepimpinan pusat.

Dalam pada itu jelas beliau, semua  pihak sedang menunggu senarai calon akhir yang akan dimuktamadkan kepimpinan tertinggi dalam waktu terdekat.

“Kita masih lagi menunggu keputusan SPR kerana banyak khabar angin ada negeri lain turut goyang di mana situasi politik tidak stabil.

“Jadi adalah lebih baik kita tunggu dahulu SPR tetapkan tarikh penamaan calon dan PRN Johor kemudian baharu kita muktamad bila akan umum calon-calon PKR,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Agihan Ayam Segar di Taman Suria, di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada Ahli Parlimen Johor Bahru itu akan turut bertanding dalam PRN, Akmal meminta persoalan itu diajukan terus kepada kepimpinan tertinggi pusat.

“Saya hanya jalankan tanggungjawab saya dan bukannya berkempen.

“Sama ada nama saya ada dalam senarai calon PKR yang akan bertanding nanti, itu boleh tanya dengan kepimpinan pusat,” katanya.

Kata beliau, AMK menyasarkan 30 peratus atau sekurang-kurangnya enam kerusi daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada PKR dalam PRN Johor ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast