GVT telah merangka pelbagai pelan dalam usaha untuk menjadi peneraju van dan bas elektrik di pasaran negara ini.

KUALA LUMPUR – Industri automatif negara yang kini semakin berkembang pesat dan bersaing hebat dengan syarikat pesaing tempatan serta antarabangsa membuatkan GVT atau Gurun Vehicle Technologies Sdn. Bhd. yang dahulu dikenali GO EV Solution Sdn. Bhd. tidak terkecuali merancang strategi mengukuhkan legasi dan jenamanya.

Selepas tiga tahun, jenama 100 peratus milik bumiputera di bawah subsidiari syarikat Go Auto Group itu antara yang terus mendominasi pasaran kenderaan elektrik dan konvensional sama ada pasaran penumpang dan komersial bagi tujuan perniagaan.

Menurut Pengarah Eksekutif GVT, Wan Ahmad Wan Omar, sehingga kini pihaknya telah menghasilkan lebih 500 unit kenderaan elektrik dan diesel merangkumi jenis bas, van, trak dan kenderaan khusus seperti ambulans, sekuriti dan yang direka khas pelbagai fungsi.

“Tahun ini, kami mahu menyasarkan jualan 1500 unit van dan bas termasuk yang jenis elektrik dan menggunakan diesel malah kini 80 peratus pasaran jualan digunakan kerajaan untuk dijadikan pengangkutan penumpang, ambulan dan sekuriti.

“Tahun ini juga kami sasarkan untuk menguasai pasaran dalam segmen van penumpang contohnya untuk pekerja kilang dan pelajar sekolah, van kegunaan khusus seperti dijadikan van jenazah selain van panel bagi kegunaan penghantaran barang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad menambah, ketika pasaran van secara total di negara ini antara 5,000 ke 6,000 unit setahun yang rata-ratanya kira-kira 70 peratus didominasi jenama besar antarabangsa seperti Toyota, Nissan dan Ford. Selebihnya jenama lain.

“Kami sendiri mempertaruhkan van komersial jenama Go Auto Higer ACE yang dipasang secara lokal menerusi 40 peratus penggunaan bahan tempatan.

“Ia didatangkan dengan jenis van 18 kerusi dan 15 kerusi yang dilengkapkan ciri keselesaan dan keselamatan mengikut keperluan pengguna Malaysia,” katanya.

Wan Ahmad menambah, van berkenaan didatangkan dengan spesifikasi berbeza.

“Terdapat van yang mempunyai kapasiti enjin antara 2.5 liter (L) ke 3L dengan kuasa lebih untuk muatan maksimum.

“Bagi van elektrik pula memiliki kuasa 45 kilowatt sejam (kWj)  selain kapasiti bateri hayat 50 kWj yang boleh bertahan untuk perjalanan jauh sehingga 300 kilometer bagi sekali caj,” katanya.

Namun Wan Ahmad mengakui adat dalam berniaga, persaingan dan cabaran itu sentiasa ada di mana GVT sendiri berdepan dengan beberapa pesaing syarikat luar negara dan tempatan.

“Seperti sedia maklum, pada fasa awal produksi, sekitar 80 peratus bahan digunakan diimport dari China. Namun pada masa ini kita menghadapi masalah kualiti komponen yang tidak sesuai dengan klimaks di Malaysia.

“Dalam masa tiga tahun ini kita sudah membuat banyak penambahbaikan tahap kualiti bahan tempatan dengan mencapai tahap kualiti yang setanding dengan jenama antarabangsa.

“Kami bangga dengan pencapaian GO Auto Higer ACE sekarang dan bertekad untuk terus memperhalusi kualiti sedia ada kepada tahap yang lebih baik,” katanya.

Wan Ahmad berkata lagi, pembuatan van itu kebanyakan dihasilkan daripada China.

“Persepsi ramai terhadap situasi ini melihat kualitinya rendah berbanding van jenama lain dan kami sendiri telah menukar jenama van keluaran negara itu dengan nama GO Auto.

“Ia diubahsuai dengan kehendak dan keperluan lokal serta kualiti semasa di mana pada peringkatt permulaan kami hanya mempunyai 11 buah pusat servis selepas jualan.

“Tapi kini sudah terdapat 75 buah pusat berkenaan di seluruh negara. Malah kami membangunkan aplikasi POMEN untuk kemudahan tempahan servis dan penyenggaraan dikendalikan atas talian,” katanya.

GVT telah menukar jenama van keluaran negara China dengan nama GO Auto.

Sementara itu, Wan Ahmad berkata syarikatnya juga tidak terus berada di zon selesa di mana telah merangka pelbagai pelan dalam usaha untuk menjadi peneraju van dan bas elektrik di pasaran tanah air.

Jelas beliau, pihaknya mahu menyediakan platform untuk membeli alat ganti van menerusi e-dagang.

“Kami juga mahu mewujudkan lagi banyak pusat servis selepas jualan di mana sekurang kurangnya satu daerah ada satu pusat itu yang membolehkan kenderaan dapat diuruskan dengan cepat dan berkesan.

“Kami juga mahu menaik taraf sistem sedia ada supaya boleh terus memberi lebih lagi nilai tambah kepada pengguna.

“Tidak ketinggalan meningkatkan mutu kualiti pusat khidmat pelanggan serta memberikan pengalaman baharu kepada mereka selain bakal melancarkan beberapa jenis model baru sama ada secara elektrik atau konvesional bagi van panel komersial untuk kegunaan perniagaan kecil dan sederhana (SME) serta van atau bas mini penumpang,” katanya yang mengalukan orang mendapat maklumat dengan melayari https://goautovan.my/. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast