MCA
PRN Johor membawa cabaran bagi MCA untuk memastikan kemenangan kerusi yang ditandingi kelak.

JOHOR BAHRU – Johor pernah satu ketika menjadi kubu terkuat MCA sehinggalah pada pilihan raya umum lalu yang menyaksikan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu pulang dengan tangan kosong.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, walaupun partinya dijangka menghadapi satu perang yang sukar di Johor, tetapi misi “pecah telur” harus dilaksanakan.

Dalam mencapai matlamat itu, beliau dipetik Sinchew Daily sebagai berkata, parti yang mampu mendapat sokongan orang muda akan berjaya mencapai kemenangan.

Katanya, strategi pilihan raya MCA termasuk pelantikan calon justeru akan berubah kerana parti itu perlu membentuk hubungan dengan orang muda.

Ka Siong pada masa yang sama meminta pengundi di Johor supaya tidak meletakkan semua telur dalam bakul yang sama.

Jelasnya, kerajaan harus mempunyai wakil daripada semua kaum dan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang harus mempunyai wakil kaum berlainan.

Menurutnya, walaupun pengundi Cina di Johor mencecah 30 peratus dan terdapat di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri, tetapi tiada seorang pun wakil Cina dalam kerajaan negeri yang dibubarkan baru-baru ini.

“Kami percaya pembangkang masih akan menang di kerusi tertentu, tetapi berilah kami satu peluang kerana kami mampu memainkan peranan berbeza dalam negeri yang besar seperti ini,” katanya.

Mengenai pengagihan kerusi dalam BN pula, Ka Siong berkata, MCA tidak akan “syok sendiri” dengan berbicara melalui media.

Menurutnya, di bawah mekanisme BN, semua keputusan hanya akan dibuat dalam meja bulat dan bukannya melalui “cakap kosong” di di luar mesyuarat.

Sementara itu, Ka Siong berkata, walaupun akar umbi BN di Johor secara bandingan lebih baik, tetapi BN tidak sesekali memandang remeh lawan yang ada tidak kira apa jua pakatan atau keadaan yang akan muncul selepas ini susulan kelahiran MUDA dan Warisan di Johor. – MalaysiaGazette