Shahril Sufian Hamdan

JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak layak mengulas kemelut dalaman UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan dakwaan itu tidak masuk akal.

“Dia (Wan Saiful) tidak duduk dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, dia juga tidak menghadiri mesyuarat kita, bagaimana dia boleh cakap begitu?

“Orang begini, saya rasa lebih baik dia cerita mengenai Bersatu sahaja, hal dalam UMNO dia tidak tahu. Lebih baik jaga tepi kain sendiri,” katanya ketika ditemui pada Program Santai Penerangan UMNO Bersama Media di Restoran Banafee di sini hari ini.

Sebelum ini, Wan Saiful dalam satu kenyataannya mendakwa UMNO kini dalam kucar kacir kerana mempunyai kemelut dalaman.

Selain itu, Wan Saiful juga menyifatkan ahli UMNO tidak yakin untuk membawa nama presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri selepas PRU-15.

Mengulas mengenai persiapan Penerangan UMNO menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor, Shahril berkata, mereka akan melihat garis panduan berkempen oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu.

“Macam di Melaka kita sudah pelajari sesuatu dan untuk PRN kali ini situasinya ada sedikit berbeza. Sudah tentu kita akan fokuskan kepada penerangan mengenai isu-isu semasa dan bagaimana untuk memenangi semula pengundi atas pagar.

“Kita juga akan tunggu prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Kita tidak boleh ketepikan mereka dan mendahului KKM dan walaupun seperti di Malaka agak ketat, Melaka tetap peroleh kemenangan, cuma kalau boleh memang kita mahu ada kelonggaran (berkempen) untuk kali ini,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast