Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dilihat cuba memecahbelahkan UMNO.

Kenyataannya yang mengatakan UMNO tidak mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (PM) sebelum ini dilihat satu serangan politik.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kenyataan itu menunjukkan Bersatu kurang yakin dengan kemampuan parti sendiri apatah lagi berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

“Ketua Penerangan PPBM sekali lagi menyerang UMNO dengan tuduhan hanya untuk memecah belah parti UMNO. Wan Saiful mengatakan bahawa PM menjadi PM kerana Bersatu calonkan beliau, UMNO tidak mencalonkan beliau sebagai PM.

“Ini bukan kenyataan yang pertama beliau menyerang UMNO tetapi sudah berkali-kali. Kenyataan balas saya beberapa minggu lepas jelas membuktikan sekali lagi, Bersatu sudah mula kurang yakin dengan kemampuan parti sendiri.

“Kenyataan begini hanya dibuat kerana PRN Johor makin dekat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Jelas Shahril, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bermesyuarat pada 17 Ogos 2021 dan sepakat memilih Ismail Sabri sebagai satu-satunya calon PM.

Dalam masa yang sama, tegas Shahril, Wan Saiful tidak faham tentang semangat sepakat yang diamalkan UMNO apabila mendakwa UMNO mahu memilih presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai PM.

“Malah pada 16 Ogos 2021, Presiden UMNO mengeluarkan kenyataan tidak pernah terlintas untuk beliau menamakan diri sebagai calon PM walaupun mengepalai parti terbesar negara. Ini jelas sekali lagi bahawa UMNO memilih Perdana Menteri sebagai calon selepas mesyuarat memutuskan dengan sebulat suara,” jelasnya.

Sementara itu, beliau mengingatkan Wan Saiful yang PRN Johor diadakan tidak diadakan demi ‘Kluster Mahkamah’ sebaliknya mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bertindak mengugut untuk menarik balik sokongan di Johor.

“Ketua Penerangan PPBM mungkin lupa bahawa Bersatu sendiri mengugut untuk tarik sokongan, lagi-lagi apabila Presiden PPBM sendiri mengugut untuk ‘tekan butang’ semasa PRN Melaka. Dalam kata-kata Tan Sri sendiri ‘Saya tekan butang sekarang, jatuh kerajaan Johor’.

“Bukan kerana Kluster Mahkamah PRN ini dijalankan, tetapi kerana keadaan rapuh di Johor yang antaranya disebabkan oleh PPBM, PRN ini dijalankan,” Shahril berkata.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast