Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa motorsikal pada Ops Motorsikal sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,910 pemandu kenderaan telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh penguatkuasaan Ops Tahun Baru Cina (TBC) yang diadakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan.

Dalam masa yang sama, sebanyak 6,130 notis telah dikeluarkan oleh jabatan berkenaan.

“Antaranya yang paling banyak adalah notis JPJ (P) 22 sebanyak 5,069 selain notis Arah Periksa 61(1) (472),” kata JPJ menerusi kenyataan hari ini.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan lesen, melanggar lampur isyarat, cermin kereta gelap, menggunakan telefon bimbit ketika memandi dan lain-lain lagi.

Menurut JPJ, sepanjang lebih kurang dua minggu operasi, dilaksanakan sebanyak 18, 435 kenderaan telah diperiksa dengan kekuatan 364 anggota dan 27 kenderaan penguatkuasa digunakan di Kuala Lumpur.

Sementara itu dalam Ops Motosikal yang diadakan di Plaza Tol Gombak hari ini, JPJ telah mengeluarkan 409 notis kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan.

Turut ditahan tujuh penunggang motosikal yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Selain itu, JPJ memaklumkan sebanyak 15 motosikal turut disita pada hari ini.- MalaysiaGazette