Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada para sukarelawan ketika sesi soal jawab pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor 2022 (SERVE 2022) di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 FEBRUARI 2022.

SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengelakkan jangkitan positif Covid-19 terus meningkat.

Ketua Pembangkang itu menegaskan, kenaikan sehingga melebihi 10,000 kes hari ini suatu angka yang membimbangkan.

Lebih-lebih lagi katanya, di Johor bakal berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kempen dari parti politik yang bertanding semakin rancak.

“Pembangkang dari awal lagi kalau boleh cuba elak PRN dari diadakan tetapi degil. Mereka langsung tidak fikirkan masalah rakyat, kesihatan rakyat.

“Kita sudah kata Covid-19 ini tidak boleh dimain-mainkan, mereka tidak fikir,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor (SERVE) 2022 di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Anwar menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan seperti tidak bersalam menyentuh tangan dan sebagainya.

Beliau berharap, kerajaan memikirkan SOP yang memberi keadilan kepada pembangkang terutama ketika berkempen.

“Mereka (kerajaan) boleh berkempen melalui media, lepas itu pergi minum kopi, kita pula tak boleh berkempen sebab kekangan SOP,” katanya. – MalaysiaGazette