TANGKAK – Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk mengekalkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak Ee Chin Li daripada DAP, sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengumuman itu dilakukan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di sebuah restoran, di sini hari ini sekali gus menjadikan Ee calon keempat dari DAP yang diumumkan untuk bertanding pada PRN Johor.
“Ee dipilih kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan semua pemimpin PH khususnya DAP, PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara). Kita akan pastikan PH bukan sahaja menang di DUN Tangkak malah juga di Gambir dan Serom,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman itu.
Ee, 40, yang juga Pengerusi DAP Ledang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak selama dua penggal dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pada 2018.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ee memenangi kerusi DUN Tangkak selepas memperoleh majoriti 5,077 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Goh Tee Tee.
Selain DUN Tangkak, DAP telah mengumumkan tiga calon yang akan bertanding atas tiket PH pada PRN Johor iaitu kerusi DUN Paloh, Mengkibol dan Penggaram.
Mengulas mengenai pengumuman calon seterusnya, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata DAP akan meneruskan kaedah jelajah dalam memperkenalkan calon mereka di setiap kerusi DUN Johor.
Beliau berkata langkah itu dapat mengaktifkan jentera pilihan raya di kawasan berkenaan, bagaimanapun menurutnya masih terdapat beberapa calon kerusi DUN yang belum dimuktamadkan.
“Ini kerana Johor besar, ini negeri tapi macam sebuah negara…bukan macam Melaka, satu hari setengah boleh jalan habis, di Johor tidak boleh, ia juga supaya kita boleh beri masa mencukupi untuk jentera bergerak aktif,” katanya.
Pada 27 Jan lepas, Presiden Amanah Mohamad Sabu dilaporkan berkata PH telah memuktamadkan pengagihan kerusi DUN yang bakal ditandingi setiap parti komponennya pada PRN Johor iaitu Amanah dan PKR masing-masing akan bertanding 20 kerusi manakala DAP 16 kerusi.- BERNAMA