GEORGE TOWN – “Saya teruja untuk menerima vaksin kerana ia akan membantu mencegah diri saya daripada dijangkiti virus Covid-19,” kata G. Shivvaen.
Pelajar berusia 11 tahun daripada sekolah swasta, Wesley Methodist itu antara 10 individu yang menerima suntikan vaksin menerusi Program pemberian vaksin bagi kanak-kanak mempunyai komorbid di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
Selain Shivvaen, adiknya G. Dhanvinn berusia enam tahun turut hadir menerima vaksin.
Menurut Shivvaen, dia yakin dengan pengambilan vaksin ini mereka dapat jalani kehidupan seperti dahulu.
“Terasa sakit sikit di bahagian lengan ketika menerima suntikan tapi yang penting saya boleh pergi ke sekolah dan keluar dengan pengambilan vaksin ini.
“Saya harap kanak-kanak yang di luar sana turut sama ambil vaksin ini demi kebaikan bersama,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin meninjau hari pertama pemberian vaksin kepada kanak-kanak di PPV HPP.
Sementara itu, ibu kepada dua kanak-kanak terbabit, Dr M. Malini berkata, dia memberita sokongan kepada anaknya untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebagai perlindungan ketika berada di luar rumah.
Kata Malini, dia mengambil keputusan itu berikutan kebimbangan terhadap keselamatan anak sekiranya mahu keluar rumah termasuk ke sekolah.
“Kita sudah lihat anak-anak hanya berada di rumah sepanjang dua tahun lalu akibat pandemik jadi sudah tiba masanya kita beri perlindungan kepada mereka, sekali gus membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti biasa.
“Malah mereka juga tidak sabar dan hampir setiap hari bertanya bilakah boleh mengambil suntikan,” ujar Malini. – MalaysiaGazette