Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin UMNO yang telah meninggalkan parti itu dan ingin kembali semula perlu melalui proses seperti yang tercatat dalam Perlembagaan UMNO.

Presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu ini perlu berlaku adil dan tegas

Tambah beliau, sebagai sebuah gerakan yang menabur bakti dan kebaikan, pintu UMNO sentiasa terbuka kepada semua tanpa mengira latar umur dan asal usul.

“Namun, andai mereka yang meninggalkan UMNO dan berhasrat kembali, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Namun, parti ini mesti berlaku adil dan tegas.

“Proses penerimaan semula mestia melalui proses seperti dalam perlembagaan UMNO. Diterima hanya sebagai ahli biasa. Tanpa syarat. Tanpa keistimewaan atau kelebihan.

“Ingat, UMNO adalah gerakan menabur bakti dan kebaikan,” kata Ahmad Zahid di media sosialnya.

Sebelum ini Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, terdapat beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mengumumkan kembali menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Tambah Annuar, sebagai ahli dan penyokong setia parti harus membuka pintu dan menyambut kepulangan sesiapa sahaja yang ingin menyertainya semula.

“Saya tahu ramai lagi yang bersedia untuk berbuat demikian, Insya-Allah.

“Gelombang ini bukan satu perkara yang tidak baik dan ia satu proses pemulihan. Belut pulang ke lumpur, sirih pulang ke gagang,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Annuar berharap kemasukan semula bekas pemimpin itu akan merintis kepulangan dokongan rakyat keseluruhannya kepada UMNO.

“Dalam sejarah politik negara, parti serpihan biasanya berjuang di bawah dokongan personaliti, bukan organisasi atau ideologi,” ujarnya.-MalaysiaGazette