Foto Instagram Sharifah Sakinah.

KUALA LUMPUR – Pelakon Sharifah Sakinah akhirnya menunjukkan bukti bahawa suaminya, Michael Hansen kini beragama Islam.

Menurut Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, bukti itu tidak diumumkan sebelum ini kerana isu pertukaran agama suaminya itu boleh merosakkan hubungan keluarga mentua.

Tegas pelakon berusia 32 tahun itu, sepatutnya tiada pihak yang mempersoalkan status suaminya selepas dia mendedahkan mereka sudah berkahwin.

“Kami tak post bukti sebab tak nak mengharu-birukan keluarga mentua ya. Cuba anak awak tiba-tiba kena convert Hindu, mahu mak awak melenting tak?

“Nak sangat bukti swipe la. Terima kasih la sebab mengharu-birukan keadaan. Kalau dah cakap, dah la, dah la tak payah buruk sangka.

“Habis semua nak kena tunjuk bukti. Tak tunjuk, nak jaga hati keluarga sana,” kata Sakinah di media sosialnya.

Adik kepada penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah itu turut memuat naik foto memaparkan kad suaminya yang memeluk agama Islam.

Pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu bagaimanapun memadam perkongsian tersebut daripada Instagram miliknya beberapa jam kemudian.

Berdasarkan perkongsian berkenaan, kad perakuan tersebut dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pada Jumaat lalu, Sakinah mengumumkan dia sudah berkahwin dengan Michael atau nama Islamnya Mikael Hansen dan terpaksa merahsiakannya atas faktor peribadi.

Sharifah Shahira bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar perkahwinannya dengan jejaka berasal dari Sweden itu.

Dalam pada itu, Sakinah turut berkongsi komen netizen yang mengatakan fitnah tersebut timbul disebabkan kehidupan mereka tidak menggambarkan seorang Muslim.

Untuk rekod, Sakinah pernah berkahwin dengan juruterbang bernama Aliff Adha pada 2015 namun hubungan mereka terlerai selepas bercerai pada Mei 2020.

Hasil perkahwinan, Sakinah mempunyai seorang cahaya mata perempuan, Anais Adha yang kini berusia lima tahun. – MalaysiaGazette