KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru rakyat yang belum mendapatkan vaksinasi COVID-19 supaya berbuat demikian.
Seri Paduka bertitah, ia termasuklah mendapatkan dos penggalak bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik COVID-19.
“Negara masih lagi belum bebas daripada pandemik COVID-19, justeru marilah kita bersama-sama mematuhi panduan dan peraturan dalam usaha untuk memerangi COVID-19 yang telah digariskan oleh kerajaan beta,” titah baginda sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara di sini hari ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.
Pada majlis itu, Seri Paduka berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 263 penerima bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya rakyat Malaysia bersama-sama mengulangi iltizam untuk terus mengeratkan perpaduan dan menghindari perpecahan.
“Sesungguhnya asas kekuatan sebuah negara adalah ikatan perpaduan serta semangat seia dan sekata dalam menjunjung prinsip Rukun Negara demi memastikan kedaulatan tanah tumpahnya darah ini terus terpelihara,” titah baginda. – Bernama