KUALA LUMPUR – Aktivis Fahmi Reza hari ini didakwa atas dakwaan menggunakan laman sosial Twitter miliknya untuk membuat ciapan menghina seorang menteri.

Bagaimanapun, Fahmi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Sabariah Atan di sini hari ini.

Hakim Sabariah kemudian membenarkan permohonan ikat jamin bernilai RM5,000 dengan seorang penjamin.

Menurut kertas pertuduhan, Fahmi dengan sedar telah membuat penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Peruduhan adalah mengikut seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum bawah seksyen 233(3) akta sama.

Tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000.00 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Namun butiran berkaitan menteri yang menjadi sasaran Fahmi tidak disebut namun difahamkan ciapan itu berkaitan peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang tahun lepas dari lawatan rasmi di luar negara.

Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 terhadap OKS, namun peguam Raj Surian Pillai memohon ikat jamin lebih rendah antara RM4,000 ribu dan RM5,000.

Mahkamah menetapkan 30 Mac depan bagi sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast