Dr Muhamad Akmal Saleh memberi suntikan vaksin kepada anak sulungnya sambil diperhatikan isteri beliau, Dr Fatin Nadhirah Idrus di PPV Merlimau, hari ini.

JASIN – Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini membuktikan keyakinannya terhadap vaksin kanak-kanak apabila memberikan sendiri suntikan imunisasi kepada anak lelakinya yang juga merupakan pengidap Austisme.

Menurutnya, sebagai bapa, beliau juga memahami kebimbangan yang dilontarkan rakyat terhadap kesan sampingan yang mungkin akan dihidapi anak mereka sekiranya mendapatkan suntikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

“Betul saya faham kebimbangan itu, termasuk saya juga pada awalnya tetapi selepas baca pelbagai kajian berdasarkan angka dan bukti, bukannya baca omongan kosong daripada group-group Whatsapp yang kita sendiri tidak pasti kesahihannya.

“Sebagai bukti keyakinan itu, sebagai pemimpin hari ini sambil ditemani isteri, Dr Fatin Nadhirah Idrus, saya berikan sendiri vaksin Covid-19 kepada anak sulung saya, Muhammad Ziyad, berusia tujuh tahun yang juga pengidap autisme,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Dato Haji Ahmad Ithnin di Merlimau di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, satu kajian di Amerika Syarikat (AS) antara data yang membuktikan vaksin terhadap kanak-kanak penting dan tidak mendatangkan keburukan.

“Di AS, daripada 8.7 juta kanak-kanak yang divaksin pada November hingga Disember 2021, yang dapat kesan sampingan seperti radang jantung cuma 0.001 peratus.

“Itupun, daripada jumlah itu, 11 kes pulih dengan sendirinya tanpa perlukan apa-apa ubat sekaligus membuktikan vaksin untuk kanak-kanak ini selamat,” katanya. – MalaysiaGazette