Prime Minister cum the Vice-President of UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob at a news conference after a Meet and Greet session with the Ledang Community at Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak, Johor. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 11 FEBRUARY 2022  
Prime Minister cum the Vice-President of UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob at a news conference after a Meet and Greet session with the Ledang Community at Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak, Johor. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 11 FEBRUARY 2022.  Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2022.

TANGKAK – Perdana Menteri memberi jaminan tidak akan melaksanakan sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah, termasuk balik kampung meraikan Aidilfitri, Mei ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan amat memahami kesengsaraan yang ditempuhi rakyat sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula dengan alasan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara ketika ini.

Sebaliknya, ujar beliau, kerajaan hanya akan melaksanakan sekatan secara bersasar mengikut kes jangkitan di sesebuah penempatan dan bukannya menutup keseluruhan daerah.

“Saya dah katakan kita terpaksa hidup dengan Covid-19 dan kita kita takkan sekat lagi pergerakan rakyat dari segi rentas negeri, rentas daerah dan sebagainya…termasuk nak balik raya esok, takkan kita tak benarkan.

“Cuma border (sempadan negara) sahaja tak buka lagi sebab kes yang tinggi di luar negara dan mereka pun tak terima kedatangan kita ke negara mereka.

“Tapi dalam negara kita dah benarkan rentas…dengan syarat kita sendiri yang kawal diri supaya kes tak merebak lebih cepat,” katanya pada sidang media selepas program Ramah Mesra Bersama Jentera BN Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, Ketua UMNO Bahagian Ledang Datuk Ir. Hamim Samuri, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Naib Presiden MIC Datuk M Asojan.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, sektor ekonomi negara juga tidak akan ditutup kerana memahami kesukaran yang terpaksa dilalui termasuk mungkin ada peniaga yang akan gulung tikar.

“Kita dah tahu betapa sukarnya kehidupan rakyat bila PKP dilaksanakan. Saya rasa kalau kita tutup semula (sektor ekonomi), mereka (peniaga) akan tutup selama-lamanya,” katanya. – MalaysiaGazette