DAP Queen's counsel Najib Razak UK SRC International Sdn Bhd appeal Federal Court
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak mempunyai aset sebanyak AS$681 juta untuk dibekukan.

Menurut bekas Perdana menteri itu, apa yang dinyatakan tentang aset beliau adalah palsu semata-mata dan setelah bertahun-tahun menyiasat kerajaan tahu berapa nilai aset yang beliau miliki.

“Amat jelas bahawa kes saman sivil 1MDB di bawah Menteri Kewangan (yang dilantik PM8) yang melantik firma guaman dimiliki peguam peribadi PM8 ialah untuk membina persepsi bahawa saya ada aset bernilai sehingga US681 juta untuk dibeku,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, 1MDB dan sebuah anak syarikatnya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang Datuk Seri Najib Tun Razak melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, injunksi tersebut juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

Najib mendakwa, saman sivil yang difailkan firma guaman Messrs Rosli Dahlan Saravana bagi pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menuntut ganti rugi sebanyak AS$681 juta adalah milik peguam peribadi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“US$681 juta ini adalah jumlah yang terkenal sebagai RM2.6b yang pernah masuk akaun atas nama saya,” ujarnya.

Menurut Najib, dalam kes jenayah berhubung 1MDB, beliau telah didakwa sembilan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) disebabkan wang sebanyak RM2.6b pernah masuk akaunnya dan beliau juga berhadapan enam tuduhan wang sebanyak itu dipulangkan kepada penghantar empat bulan selepas diterima.

Tambah beliau, walaupun dana itu dikembalikan sepenuhnya, 1MDB masih mahu menyamannya.
“Saman sivil ini adalah berdasarkan afidavit seorang pegawai 1MDB sahaja dan sebab ianya saman sivil, ianya tidak melibatkan hukuman penjara tetapi tuntutan ganti rugi sahaja.
“Saman sivil berdasarkan afidavit sahaja juga pernah digunakan atas saya oleh kerajaan dalam kes lucut hak dana dan harta di mana kerajaan kalah kedua-dua kes tersebut,” katanya.
Najib berkata, beliau tidak faham mengapa 1MDB berpendapat  beliau mempunyai RM2.6 bilion untuk bayar pampasan.
Malah, tambahnya, beliau juga tidak mempunyai wang untuk membayar tuntutan cukai berjumlah RM1.7 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.
“Saya tiada aset berjumlah US$681 juta. Yang dimohon oleh saman 1MDB ialah saya tidak boleh memindahkan aset sehingga US$681 juta. Sebab itu, mereka nak hadkan pengeluaran dari akaun bank saya termasuk akaun pencen saya ke RM100k sebulan,’ ujarnya.

Menurut Najib, paling menarik ialah semasa 1MDB memohon mahkamah menghadkan pengeluaran wang dari akaunnya, syarikat itu telah memberi jaminan (undertaking) kepada pesuruhjaya kehakiman bahawa mereka akan membayar sebarang ganti rugi kepada beliau sekiranya syarikat itu kalah saman sivil.

“Ini adalah satu bentuk jaminan kerajaan. Adakah jaminan kerajaan ini telah diluluskan kabinet?” katanya. – MalaysiaGazette