Azim Afif Ishak. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Sepuluh pendaki terdiri daripada pelbagai bangsa, agama serta latar belakang, hari ini bertekad meneruskan misi menawan puncak tertinggi dunia Gunung Everest, selepas tertangguh hampir tiga tahun akibat wabak COVID-19.

Diketuai Presiden Kelab Eksplorasi Altitud Azim Afif Ishak, 33, misi tersebut merupakan yang pertama menggabungkan kekuatan anggota pasukan beruniform, dengan membawa semangat muhibah dan perpaduan seiring aspirasi Keluarga Malaysia.

Azim Afif berkata, kesemua pendaki akan berlepas ke Nepal bulan hadapan dengan keseluruhan misi mengambil masa kira-kira 63 hari, dan paling mencabar apabila sebahagian tempoh pendakian dilakukan ketika bulan puasa pada April ini.

Beliau yang pernah menawan puncak Everest pada 2016 melalui laluan Tibet, berkata ini merupakan cubaan ketiganya untuk sampai ke puncak dunia itu melalui Nepal, selepas gagal pada 2014 dan 2015 masing-masing disebabkan runtuhan salji di Everest dan gempa bumi, ketika pasukan sedang bersiap sedia untuk mendaki di Nepal.

“Misi kali ini bukan sahaja tentang saya, tetapi kerjasama daripada semua pendaki yang akan membawa semangat perpaduan dan keharmonian ke puncak dunia itu. Jika berjaya, bermakna Malaysia akan mempunyai keseluruhan 29 pendaki yang berjaya menakluk puncak Everest,” katanya selepas majlis memperkenalkan barisan pendaki bagi Misi Malaysia Everest 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir penasihat projek pendakian yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor dan Komander 69 Komando SAC Abdul Razak Mohd Yusoff.

Menurut Azim Afif, misi kali ini gabungan unik, kerana melibatkan anggota beruniform dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta seorang orang kurang upaya (OKU) Muhammad Hawari Hashim, 32.

Beliau berkata jika berjaya, Muhammad Hawari yang cacat pendengaran akan menjadi OKU pertama negara berjaya menjejakkan kaki ke puncak Everest, selepas dia berjaya sampai ke Annapurna Base Camp pada ketinggian 4,130 meter dari aras laut, pada Ogos lepas.

Katanya pendaki lain terdiri daripada Ayu Wanirah Naharuddin, 29; bekas pesilat negara Rina Jordana Adnan, 42;  Ahmad Murshid Maktar, 35; Jack Oh Jin Heng, 37; Pengarah APM Kedah Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 54; serta tiga wakil daripada VAT 69 iaitu Kanang Anak Usin, 42, Pragash Murusgesu, 32, dan Mohammad Hanif Che Ahmad, 28.

Misi akan dibantu pengurusan di belakang tabir melibatkan doktor perubatan iaitu Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr. Roniyuzam Abd Malek dan pengurus pasukan Maizatul Akmam Adam.

Dalam pada itu, Azim Afif berkata, pendakian sehingga ke puncak akan dirakamkan, untuk diterbitkan sebagai dokumentari pertama yang menayangkan perjalanan pendaki Malaysia, sekali gus membantu meningkatkan industri perfileman negara. – Bernama