Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Hanya 104 kes daripada 22,802 kes jangkitan positif Covid-19 yang direkodkan hari ini adakah kategori 3, 4 dan 5.

Manakala selebihnya, 22,698 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, bagi kes sembuh yang direkodkan sehingga jam 12 tengah hari ini ialah 5,442 kes dengan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 2,846,713 kes atau 94.3 peratus.

Katanya, kes baharu juga menyaksikan jumlah kumulatif melepasi tiga juta iaitu 3,019,163 kes.

“Bagaimanapun, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 94 adalah kes import iaitu 55 kes melibatkan warganegara dan 39 kes lagi bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Mengenai kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), katanya, sebanyak 176 kes dilaporkan iaitu 82 kes disahkan Covid-19, manakala 94 kes lagi diletakkan sebagai disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Begitu juga bagi kes memerlukan bantuan pernafasan, sebanyak 98 kes iaitu 40 kes disahkan Covid-19 dengan 58 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan, ujarnya.

Sehubungan itu, Dr. Noor Hisham menasihatkan orang ramai terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu mengelakkan kawasan sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.

Selain itu, katanya, orang ramai digalakkan sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup, malah pemakaian berganda sangat digalakkan.

Beliau turut meminta orang ramai agar segera menjalani ujian Covid-19 sekiranya bergejala.

Mengenai risiko jangkitan positif Covid-19, beliau berkata, bagi individu positif kategori 1 dan 2A dan tidak berisiko tinggi iaitu 60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai komorbid, tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

“Sebaliknya, mereka hanya perlu melakukan pemantauan kendiri melalui Health Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Bagi individu yang positif Ckategori 2B dan ke atas, sama ada berisiko tinggi atau tidak atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC. – MalaysiaGazette