Madrasatul Aula yang mungkin akan dirobohkan susulan perancangan pembangunan semula Perumahan Awam Flat Sri Labuan dalam masa terdekat di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Madrasatul Aula (BBMA) Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak, di sini, bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) surau memohon campur tangan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk menyelamatkan rumah ibadat berkenaan daripada dirobohkan.

Ia susulan makluman yang diterima penduduk daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai perancangan membangunkan semula Perumahan Awam (PA) Flat Sri Labuan dalam masa terdekat.

Difahamkan, perancangan dan pembangunan semula PA itu melibatkan Lot 51948 di Jalan Adil/Jalan Budiman dengan keluasan 10.11 ekar manakala luas keseluruhan kawasan surau pula meliputi kira-kira 0.53 ekar.

Setiausaha BBMA, Mohd Saiful Mansor berkata, permohonan pemecahan geran yang diketengahkan oleh BBMA, AJK surau serta penduduk sekitar bukan bertujuan menghalang sebarang proses berkaitan pembangunan di kawasan tersebut.

Setiausaha Badan Bertindak Madrasatul Aula, Mohd Saiful Mansor. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2022.

Namun katanya, usaha itu adalah semata-mata mahu mengelak surau yang sudah dibangunkan sejak lebih 20 tahun lalu, dirobohkan ekoran terdapat projek pembangunan semula di lot tanah yang sama.

Jelas Mohd Saiful, surau berkenaan didirikan 100 peratus hasil dana awam daripada penduduk beragama Islam dalam bentuk infak, wakaf serta sedekah dan merupakan lokasi strategik bagi komuniti setempat beribadah.

“Surau ini bukan sahaja digunakan oleh penduduk Flat Sri Labuan malah ia boleh menampung jemaah dari kawasan berhampiran iaitu Residensi Razakmas, Taman Jujur, Taman Mewah serta Taman Jaya.

“Selain daripada solat Jumaat, kegiatan di surau ini kekal aktif dengan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, pengurusan jenazah, kelas ilmu agama, aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, berkhatan serta ibadah korban.

“Surau ini sudah menjadi seperti one-stop center kepada penduduk sekitar kerana ia sentiasa diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Penduduk menunjukkan peta lokasi Madrasatul Aula yang mungkin akan dirobohkan susulan perancangan pembangunan semula Perumahan Awam Flat Sri Labuan dalam masa terdekat di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2022.

Mengulas lanjut, Mohd Saiful berkata, hampir keseluruhan penduduk setempat khuatir mereka akan kehilangan surau berkenaan sekiranya tiada campur tangan daripada pihak berwajib.

Menurut Mohd Saiful, BBMA telah pun menyerahkan permohonan pemecahan sebahagian geran tanah kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah pada 10 November lalu.

Selain itu, BBMA turut menghantar satu memorandum bersama lebih 800 tanda tangan yang dikumpul daripada penduduk sekitar sebagai tanda sokongan.

Penduduk bergambar sambil memegang memorandum mengenai cadangan pemecahan geran tanah untuk menyelamatkan Madrasatul Aula daripada dirobohkan susulan perancangan pembangunan semula Perumahan Awam Flat Sri Labuan dalam masa terdekat di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2022.

“Bagi mengelak surau yang dibina hasil sumbangan orang ramai ini dirobohkan, kami memohon kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur agar lokasi tapak ini yang berada dalam sebahagian lot tanah Flat Sri Labuan dapat dipecahkan menjadi satu geran hak milik yang berasingan.

“Kami turut mencadangkan supaya geran hak milik tanah tersebut diwartakan sebagai lokasi rizab rumah ibadat oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Perancang Bandar DBKL, kemudian setelah dipecahkan ia diberikan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),” ujarnya.

Penduduk membentang sejadah di dalam surau Madrasatul Aula yang mungkin akan dirobohkan susulan perancangan pembangunan semula Perumahan Awam Flat Sri Labuan dalam masa terdekat di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2022.

Tambah Mohd Saiful lagi, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang respon daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur mengenai permohonan yang telah dihantar ke pejabatnya tempoh hari.

Justeru, BBMA bersama AJK surau mengambil kata sepakat untuk menghantar sekali lagi permohonan yang sama pada akhir bulan ini sekiranya ia masih tidak mendapat perhatian sewajarnya.

“Setakat ini kami masih belum mendapat sebarang feedback dari pejabat Datuk Bandar, kami faham beliau sibuk tapi kami di sini amat memerlukan perhatian beliau dalam isu ini,” ujarnya.

Sementara itu, AJK Madrasatul Aula, Abd Jamil Kassim merayu supaya isu berkenaan dapat diberi perhatian daripada pihak berwajib kerana mereka khuatir bakal kehilangan tempat beribadah yang sangat strategik.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Madrasatul Aula, Abd Jamil Kassim. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2022.

“Walau apa pun yang terjadi saya tetap akan pertahankan surau ini, tidak akan sesekali biarkan ia dirobohkan kerana kalau penduduk di sini hendak pergi ke masjid, ia agak jauh.

“Jadi Datuk Bandar tolong lah pandang kami ini, jangan bagi surau ini dirobohkan, tolong lah turun padang tengok apa yang terjadi.

“Kita bukannya mahu pertahankan pusat karaoke tapi ini merupakan tempat untuk beribadah, takkan lah sampai hendak buat protes macam kes kuil atau tokong lain baru kami dipandang,” katanya yang juga merupakan salah seorang ahli BBMA.

Turut senada, AJK Madrasatul Aula, Jaapar Ismail berkata, surau berkenaan amat dekat di hati kesemua penduduk sekitar kerana ia menawarkan pelbagai fungsi kegunaan dan bukannya semata-mata untuk solat berjemaah.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Madrasatul Aula, Jaapar Ismail. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2022.

Tambahnya , surau berkenaan turut dilengkapi dengan kelengkapan memandikan jenazah serta van jenazah hasil derma yang disalurkan.

“Kami bersama-sama bina dan naikkan surau ini, takkan lah kita nak biarkan ia tiba-tiba hilang kerana surau ini amat dekat di hati semua penduduk,” katanya.

Manakala, seorang penduduk Flat Sri Labuan, Mohd Nasir Aziz, 49, menegaskan bahawa mereka sama sekali tidak menolak sebarang pembangunan yang akan dilakukan di PA tersebut.

Penduduk Flat Sri Labuan, Mohd Nasir Aziz. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2022.

“Bagi saya, pemaju patutnya berasa lega kerana surau sudah ada dan ia sepatutnya memudahkan pihak pemaju akan datang.

“Jadi kita minta supaya DBKL gunakan kesempatan ini untuk wartakan rizab supaya surau ini tidak dirobohkan kerana ia merupakan kepentingan kepada penduduk Muslim di kawasan ini,” katanya yang sudah menetap di situ sejak 40 tahun lalu.

Kedai mencuci kereta yang terletak bersebelahan Madrasatul Aula merupakan alternatif kepada surau berkenaan bagi menjana pendapatan sampingan. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2022.

Kata Mohd Nasir lagi, Madrasatul Aula juga menjana pendapatan sampingan daripada beberapa aktiviti perniagaan iaitu kedai makan dan kedai mencuci kereta yang dikendalikan oleh jemaah surau berkenaan. – MalaysiaGazette